suria

Bangga masuk senarai 100 lelaki kacak dunia tapi Meerqeen tak mahu sekadar jual rupa

Wajah Meerqeen diiktiraf 100 terkacak sepanjang tahun 2022.

TERSENARAI antara 100 lelaki terkacak 2022 dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan selain permulaan tahun baharu yang baik buat pelakon Meerqeen.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, berkata pengiktirafan itu menjadi satu tanda aras dalam kerjaya seninya untuk lebih dikenali di peringkat global.

"Syukur dengan pencapaian tersebut. Saya pun tidak sangka segala usaha penat bekerja sepanjang tahun lalu 'dibayar' dengan satu pengiktirafan sebegini.

meerqeen 22

Meerqeen sedia luaskan kerjaya ke peringkat antarabangsa.

"Ia juga satu permulaan baik untuk saya terus maju dalam kerjaya sepanjang tahun 2023 ini. Siapa tahu ia boleh menjadi batu loncatan untuk nama saya semakin dikenali dan dapat peluang bekerja di negara lain," katanya kepada mStar.

Sebelum itu nama Meerqeen menduduki kedudukan ke-55 dalam senarai Lelaki Wajah Kacak 2022 seperti yang dikeluarkan oleh TC Candler pada 28 Disember tahun lalu.

Selain Meerqeen, pelakon Anna Jobling juga masuk senarai di kedudukan ke-84 bagi Wanita Wajah Cantik 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Meerqeen dan Anna Jobling lolos senarai 100 artis kacak, jelita TC Candler 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki tular di negara seberang, Meerqeen muncul drama pertama terbitan produksi Indonesia

Lebih membanggakan hanya mereka berdua sahaja selebriti asal Malaysia yang berjaya lolos dalam senarai tersebut.

Selebriti lelaki lain yang tersenarai di tangga teratas adalah Henry Cavill, Hwang Hyunjin dan Timothee Chalamet.

Sementara itu, model Amerika Syarikat iaitu Jasmine Tooks berada di tempat pertama dan diikuti dua artis Korea Selatan iaitu Nacy serta Lisa.

Meskipun pengiktirafan diberikan pada sudut wajah, Meerqeen tidak mahu ia dianggap sebagai satu sandaran untuk nama kekal bertahan dan terus dikenali dalam kalangan peminat.

Biarlah bakat lakonan saya memberi kesan kepada penonton seperti mana yang pernah terjadi sebelum ini menerusi drama Melur Untuk Firdaus

MEERQEEN

PELAKON

Sebalik pelakon ini mahu menonjolkan bakat sebenar dalam dunia seni dan harap diberi lebih banyak peluang untuk mencuba pelbagai watak bagi membuktikan kehadirannya sebagai anak seni bukanlah sekarang mencari populariti.

"Kalau boleh saya tidak mahu berada di dalam industri seni ini hanya dengan 'jual' rupa sahaja. Biarlah bakat lakonan saya memberi kesan kepada penonton seperti mana yang pernah terjadi sebelum ini menerusi drama Melur Untuk Firdaus.

"Saya terbuka untuk menerima pelbagai cabaran dari segi watak. Malah banyak lagi yang perlu diteroka supaya melengkapkan profil sebagai anak seni," ujarnya.

meerqen 11

Keserasian Meerqeen dan Anna terus jadi bualan peminat.

Sementara itu, gandingannya bersama Anna dalam drama terus menjadi sebutan ramai sehingga masih ada yang menganggap mereka berdua sebagai pasangan kekasih.

Tidak mahu ambil pusing gosip tersebut, Meerqeen berkata fokusnya kini lebih tertumpu mengukuhkan kerjaya dan bukan soal cinta.

"Terpulanglah apa sahaja orang nak anggap tentang kami. Biarlah mereka terus buat andaian. Saya pun tak mahu komen lanjut kerana perkara ini sudah banyak kali diperkatakan.

"Lebih baik sekarang ini saya fokus kepada kerjaya seni," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain