suria

Bersaing dengan lagu raya Aliff Syukri di YouTube... Floor88 sama sekali tak rasa tercabar - “Ada kata ini lagu main-main”

Ayie Floor88 bukan bersaing dengan lagu raya Aliff Syukri.

KEMUNCULAN banyak lagu raya baharu sempena Aidilfitri tahun ini sedikit pun tidak menggentarkan kumpulan Floor88 untuk tampil dengan lagu berjudul Baju Raya.

Dikatakan bersaing dengan video muzik (MV) lagu Lala Raya nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri di laman YouTube, vokalis Floor88 iaitu Ayie berkata kumpulannya sama sekali tidak tercabar dengan mana-mana penyanyi.

"Bagi saya tak tercabar sebab itu salah satu cara kita mewarnai industri muzik kita dengan mempelbagaikan lagu-lagu dan karya dalam industri muzik tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki bakal kahwin muda, Ayie Floor 88 harap peminat tak lari - “Saya akan cipta lagu romantis khas untuk bakal isteri”

"Itu kiranya hadiah untuk pendengar. Lagi banyak lagu best lagi bagus, supaya mood kita tak down sangat dan semua orang seronok meraikan hari raya tahun ini.

"Jadi peminat pun akan ada lebih banyak pilihan lagu yang mereka suka untuk dengar... ini bukanlah satu persaingan! Eloklah kalau kita sama-sama memeriahkan hari raya dengan semua orang," katanya kepada mStar.



Lagu Baju Raya trending nombor 3 di YouTube.

Sebelum ini, pengguna YouTube berpendapat lagu Baju Raya kumpulan Floor88 bersaing dengan lagu raya Aliff Syukri berjudul Lala Raya di laman YouTube.

Lala Raya menjadi trending nombor satu dan menerima 1.8 juta tontonan, manakala Baju Raya menduduki tangga ketiga dengan 1.3 juta tontonan.

Sekurang-kurangnya terubat la sikit kerinduan orang tak boleh kampung... untuk lagu ni kami tak nak buat benda klise!

AYIE

VOKALIS KUMPULAN FLOOR88

Dalam pada itu, Ayie turut meluahkan rasa syukur apabila menerima banyak komen positif daripada pendengar yang sukakan konsep dan jalan cerita lagu ini.

Kata Ayie, mereka sengaja mencari kelainan untuk lagu ini kerana mahu keluar daripada kebiasaan.

"Syukur lagu ni trending dan penerimaan pendengar sangat baik. Kita pun tahu memang banyak saingan sebab ramai artis keluarkan lagu raya... Alhamdulillah Floor88 tetap mendapat tempat di hati penonton walaupun ada kata ini lagu main-main.



Floor88 mahu tampil dengan pelbagai konsep baharu.

"Sekurang-kurangnya terubat la sikit kerinduan orang tak boleh kampung... untuk lagu ni kami tak nak buat benda klise.

"Sebelum ni kita dah pernah buat lagu raya dengan lirik biasa kita dengar tapi kurang sambutan, jadi kenapa nak buat benda sama, sebab itu kita cuba konsep baharu dan Alhamdulillah dapat sambutan, ramai suka!" ujarnya.

Baju Raya merupakan hasil ciptaan Achoi dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rusa Music.

Selain Ayie, Floor88 turut dianggotai oleh Achoi, Eric, Akram, Amir dan Falique.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain