suria

Rezeki bakal kahwin muda, Ayie Floor 88 harap peminat tak lari - “Saya akan cipta lagu romantis khas untuk bakal isteri”

Ayie bertunang dengan Tasha Awie pada 2 Januari lalu.

MENGIKAT tali pertunangan dengan gadis pilihan hati, Tasha Awie pada 2 Januari lalu, vokalis kumpulan Floor88, Ayie berharap peminat akan tetap setia menyokong kerjaya seninya.

Menurut Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 24, berkata, dia percaya keputusan yang dilakukan iaitu mendirikan rumah tangga ini sudah tertulis dan yakin dengan rezeki yang ditetapkan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Jumpa di kedai makan selepas ABPBH tiga tahun lalu... Ayie Floor88 selamat jadi tunangan Tasha Awie - “InsyaAllah jika ada rezeki nikah tahun ini”

"Soal jodoh, ajal dan maut semua di atas ketentuan Ilahi.

"Saya bersyukur rezeki (kahwin) saya datang awal tapi janganlah berhenti daripada menyokong saya.

"Saya sayang semua peminat saya dan berharap mereka sentiasa sokong apa saya buat selepas ini," katanya kepada mStar.

Majlis pertunangan Ayie mengikut SOP yang ketat.

Ketika ditanya bila majlis pernikahannya, Ayie menjelaskan buat masa ini dia dan keluarga kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan tarikh untuk majlis itu.

Saya bersyukur rezeki (kahwin) saya datang awal tapi janganlah berhenti daripada menyokong saya.

AYIE

VOKALIS FLOOR88

"Kami tak letak tarikh tertentu lagi tapi insyaAllah kami nak langsungkan majlis pernikahan dalam tahun ini juga.

"Buat masa ini masih tiada lagi tarikh yang dipersetujui oleh keluarga masing-masing lagi. Setakat ini saya boleh katakan sebanyak 50 peratus persiapan sudah diselesaikan.

"Saya juga ada menyimpan impian untuk mencipta sebuah lagu romantis khas untuk bakal isteri yang mungkin akan diperdengarkan pada majlis resepsi kami nanti," ujarnya.

Majlis pertunangan Ayie dan Tasha berlangsung di Lanai Anggun, Eco Sky, Kuala Lumpur diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada 2 Januari lalu.

Majlis yang diadakan secara tertutup itu turut dihadiri keluarga, rakan terdekat dan selebriti antaranya pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain