suria

Sasha Saidin alami alahan ringan selepas suntikan kedua vaksin Covid-19 - “Saya berasa letih dan mengantuk... suami pula sakit kepala”

Sasha Saidin berasa letih manakala suami alami sakit kepala selepas terima dos kedua vaksin Sinphorm.

SELEPAS 21 hari menerima suntikan pertama, pelakon dan penyanyi Sasha Saidin memaklumkan dia serta suaminya iaitu Sirhan Wahab sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm dengan mengambil dos kedua pada Rabu.

Ujar pelakon berusia 45 tahun berkenaan, dia menerima suntikan dos kedua yang merupakan booster atau penggalak itu di Hospital Emirates Field, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

ARTIKEL BERKAITAN: Sasha Saidin dituduh perampas dan punca suami ceraikan bekas isteri - “Fitnah semata-mata! Kami tahu siapa yang tulis emel itu”

Sasha yang juga anggota kumpulan Elite turut berkongsi keadaan dia dan suami yang berasa letih dan mengalami sakit kepala selepas menerima suntikan tersebut.

Sasha berkongsi pengalaman itu menerusi laman Instagram miliknya.

"Alhamdulillah semalam Sirhan dan saya sudah melengkapkan vaksin Sinopharm dengan mengambil dos kedua selepas 21 hari menerima suntikan pertama di Hospital Emirates Field di UAE.

"Kami dimaklumkan oleh jururawat yang bertugas bahawa dos kedua ini sebenarnya lebih kepada (berfungsi sebagai) booster (penggalak) dan lebih 'ringan' berbanding dos pertama yang diambil sebelum ini.

"Sebaik pulang ke rumah dari pusat vaksin, saya berasa letih dan mengantuk manakala Sirhan sakit kepala. Namun selepas makan ubat paracetamol dan tidur sekejap, sebelum petang badan kami sudah berasa kembali okay seperti biasa.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bekerja keras membantu menghasilkan vaksin.

SASHA SAIDIN

PENYANYI

"Buat masa ini, kami berdua baik sahaja, biarpun terus memantau keadaan antara satu sama lain. Kami sudah kembali menjalani rutin seperti biasa hari ini (Khamis)," katanya.

Kakak kepada pelakon Zain Saidin ini berkongsi pengalaman tersebut menerusi laman Instagram.

Sasha dan suaminya yang juga ahli perniagaan itu kini menetap di UAE selepas mendirikan rumah tangga pada 20 Januari tahun lalu.

Dalam pada itu, Sasha mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan UAE yang berterusan bertungkus lumus melawan pandemik Covid-19.

Malah, Sasha juga mengagumi kerja keras barisan hadapan iaitu doktor, jururawat dan petugas kesihatan di hospital tersebut yang masih mampu melakukan tugas dengan baik biarpun dalam keadaan kepenatan.

Sasha dan suami menetap di UAE selepas mereka berkahwin.

"Sekali lagi kami ingin berterima kasih kepada @ministryofhealthuae yang bertungkus lumus melawan pandemik serta menyediakan vaksin percuma untuk seluruh penduduk di UAE.

"Dua kali pergi hospital itu, kami melihat doktor, jururawat dan petugas di sana dalam keadaan keletihan menguruskan beribu pesakit setiap hari namun masih tetap menjalankan tugas dengan baik.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bekerja keras membantu menghasilkan vaksin dan terima kasih atas doa anda semua serta kami juga mendoakan anda dalam keadaan baik," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain