suria

Kereta Nash terbabas selepas langgar lopak air, alami cedera di muka dan sakit dada

Nash terbabit kemalangan apabila kecederaan dinaikinya terbabas.

PENYANYI Datuk Nash terbabit kemalangan di kilometer 250.8 (arah utara), Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 4 petang, Selasa.

Nash atau nama sebenar Jamaludin Elias, 62, mengalami kecederaan di bahagian muka dan mengadu sakit di dada dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, kenderaan yang dinaiki mangsa jenis Toyota Harrier dipercayai terbabas tanpa membabitkan kenderaan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia panggil aku ustaz!” - Hati Azhan Rani berbunga-bunga ditegur Nash di kedai makan

"Mangsa dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur bersama pemandunya.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa telah melanggar lopak air menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan.

"Lalu kenderaan itu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuhraya," katanya.

Nash alami kecederaan pada muka dan sakit dada.

Mohd. Said turut memaklumkan mangsa mengalami kecederaan serta luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya yang merupakan seorang lelaki berumur 33 tahun hanya mengalami kecederaan luka-luka ringan.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, Nash menerusi sebuah video yang dikongsi pelakon Fizz Fairuz memberitahu bibir dan sikunya terpaksa dijahit.

"Bibir saya atas dan bawah kena jahit termasuk siku juga.

"Apa-apa pun tidaklah teruk sangat cuma sakit-sakit satu badan.

"Terima kasih atas doa, kerana doa sahabat adalah yang mustajab" ujarnya.

Sebelum itu, menerusi Facebook rasmi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ada berkongsi foto maklumat mengenai kemalangan tersebut.

"Kemalangan yang berlaku petang tadi yang melibatkan lagenda rock tanah air Datuk Nash. Semoga sembuh kepada lagenda kita yang merupakan pegawai bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. APM Rembau terima kasih untuk tindakan pantas," tulis pengendali akaun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain