suria

Zamani bakal kongsi detik hitam sepanjang proses pemulihan dadah di Showcase Lejen Ria

Zamani terlibat dalam program terbaharu Astro, Showcase Lejen Ria.

VOKALIS kumpulan Slam, Zamani bakal membuat pendedahan eksklusif sepanjang dirinya menjalani tempoh pemulihan dadah menerusi program terbaharu Astro berjudul, Showcase Lejen Ria.

Pengalaman itu akan dikongsikan Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 50, menerusi minggu kedua program tersebut yang akan memulakan siarannya pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani Slam syukur kahwin sebelum pandemik Covid-19 - “Sekarang ada yang jaga, kalau tidak... duduk seorang diri di rumah masa PKP”

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata selain membawakan konsert bersama penyanyi lagenda yang pernah menjadi fenomena pada satu ketika dahulu, program ini juga membawakan kandungan eksklusif untuk tatapan penonton.

Zamani juga akan membuat perkongsian eksklusif saat dirinya diuji dengan detik hitam semasa dalam pusat pemulihan dadah.

EMARINA MOHD KAMAL

PENGURUS SALURAN ASTRO RIA

"Perubahan mendadak terhadap norma kehidupan, kekangan SOP serta risiko penyebaran Covid-19 itu sendiri menjadi cabaran utama dalam menghasilkan program-program hiburan seperti penganjuran konsert, program realiti, majlis penganugerahan dan sebagainya yang lazimnya diadakan dalam skala besar serta memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Emarina berharap Showcase Lejen Ria dapat mengimbau kembali memori peminat dengan penyanyi popular era 90-an.

"Terbaharu, kami bawakan konsert mini eksklusif Showcase Lejen Ria yang menampilkan lagenda tersohor tanah air untuk menggegarkan malam minggu anda. Konsep sebegini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu di platform Astro Ria.

"Dalam program itu nanti, Zamani juga akan membuat perkongsian eksklusif saat dirinya diuji dengan detik hitam semasa dalam pusat pemulihan dadah," katanya kepada mStar.

Zamani bakal tampil berduet dengan Ameng menerusi Showcase Lejen Ria.

Selain Zamani, Showcase Lejen Ria turut menampilkan empat lagi penyanyi terkenal tanah air iaitu kumpulan Wings, Ameng, Ella dan Anuar Zain untuk berkongsi pentas sama pada setiap minggu berbeza.

"Untuk episod pertama yang menampilkan kumpulan Wings, buat pertama kalinya para peminat bakal dihiburkan dengan persembahan reunion daripada Datuk Awie, Mel dan Muss.

"Antara barisan lagu hits yang bakal dipersembahkan termasuklah Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Peronda Jaket Biru, Taman Rashidah Utama dan banyak lagi," katanya.

Showcase Lejen Ria akan memulakan siarannya pada malam Ahad ini, pukul 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain