suria

Orang ramai mula serbu kedai pajak, Shahrulezad faham sebab kerajaan buka balik ekonomi - “Lagi lama shutdown lagi ramai hilang kerja”

Shahrulezad meluahkan rasa bimbang ramai yang hilang pendapatan kerana PKP.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak dua bulan lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada rakyat yang semakin kesempitan hidup apabila tidak bekerja.

Justeru itu, pengarah drama popular, Shahrulezad Mohameddin menerusi Instagramnya menyatakan sokongan dan memahami keputusan kerajaan membuka semula ekonomi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahrulezad sifatkan golongan yang balik kampung tanpa alasan pentingkan diri dan tak bertanggungjawab!

Dia turut berkongsi beberapa foto yang tular di media sosial memperlihatkan orang ramai beratur di kedai pajak gadai bagi menukar barang berharga mereka kepada wang tunai.

Shahrulezad berkongsi foto-foto tular orang ramai beratur di kedai pajak bagi menukar barang berharga mereka kepada wang tunai.

“Pemandangan di beberapa buah kedai pajak. Sebaik bermulanya PKPB hari ni ramai yang berpusu-pusu ke situ."

“Sekarang fahamkan kenapa kerajaan terpaksa ambil keputusan tak popular buka balik aktiviti ekonomi walaupun berisiko tinggi? Sebab kerana macam inilah."

"Lagi lama kita shutdown lagi banyak pemandangan sebegini kita akan lihat hari demi hari. Makin ramai yang hilang pendapatan. Makin ramai yang hilang kerja, ” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB yang membolehkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi pada Isnin.

Dalam pada itu, dia berharap agar orang ramai menggunakan kelonggaran yang diberikan ini dengan sebaiknya dan menjaga diri masing-masing mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan.

“Cuma saya harap sangat masing-masing jaga diri masing-masing jangan sampai hujung-hujung muncul pulak kluster pajak gadai sudah. Kasihan KKM dengan frontliners nak kawal balik pandemik ini, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Shahrulezad, pajak gadai, Nur

Artikel Lain