suria

Usop bantu keluarga berniaga makanan sepanjang Ramadan - “Ada pelanggan happy dapat jumpa saya semasa COD”

Usop bantu keluarga berniaga dan membuat penghantaran COD kepada pelanggan.

KEDATANGAN Ramadan disambut penuh kesyukuran oleh penyanyi Usop (Mentor) apabila dapat bersama keluarga tersayang di Kulim, Kedah.

Usop berkata dia beruntung kerana berada di kampung halaman beberapa hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan pada 18 Mac lalu.

"Bersyukur sangat sebab semasa PKP dilaksanakan, saya memang bercuti di kampung, jadi terus berada di sini bersama keluarga... tak boleh bayang kalau saya perlu sendirian di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: “Walaupun gigi besar, saya boleh bagi duit pada ibu bapa” - Usop

"Alhamdulillah dalam tempoh PKP ini saya dapat bersama keluarga dan sambut Ramadan bersama mereka.

"InsyaAllah saya akan terus berada di kampung sehingga Aidilfitri ini. Jika sebelum ini saya agak sibuk dengan kerja, kali ini masa untuk bersama mereka," katanya kepada mStar.



Usop bersyukur dapat luangkan masa bersama keluarga.

Sementara itu, Usop atau nama sebenar Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 23, dia turut membantu keluarga menguruskan perniagaan di gerai makanan mereka dan menghantar makanan atau delivery kepada pelanggan.

"Sepanjang berada di kampung, saya bukan duduk-duduk sahaja, tapi bantu ibu dan ayah meniaga makanan berlauk di gerai kami, Nasi Kandar Mama Usop.

"Awal pagi lagi dah tolong sediakan bahan-bahan, kemudian petang mula hantar kepada pelanggan yang mahu Cash On Delivery (COD). Alhamdulillah, tak sampai tiga jam jualan dah habis!



Usop bakal muncul dengan lagu berbentuk ketuhanan tidak lama lagi.

"Ini semua rezeki Ramadan... saya pun seronok buat kerja ini. Ada juga pelanggan yang kata happy dapat jumpa saya semasa penghantaran itu. Malah ada pelanggan mengaku buat tempahan semata-mata nak jumpa saya," ujarnya.

Bercakap mengenai karier seni, penyanyi lagu Selamanya ini berkata dia reda apabila terpaksa menangguhkan beberapa persembahan kerana PKP.

Bagaimanapun, dia masih lagi bekerja daripada rumah dan akan muncul dengan lagu berbentuk ketuhanan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Ada beberapa show terpaksa dibatalkan kerana PKP, malah penggambaran video muzik lagu terbaharu juga terpaksa ditangguhkan.

"Tapi sepanjang di rumah ini pun masih bekerja kerana saya masih buat rakaman lagu kerohanian bersama beberapa artis naungan Rocketfuel Entertainment," ujarnya.

Usop Mentor

Artikel Lain