suria

Tak sangka dapat kejutan, pengantin teruja pakai baju ala Siti Nurhaliza

Busana perkahwinan Intan Najwa mirip songket Datuk Seri Siti Nurhaliza.

GARA-GARA terlalu meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza, seorang abang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk melihat adik perempuannya dalam persalinan songket persis penyanyi tersohor negara.

Menurut Intan Najwa, 26, dia tidak menyangka abangnya, Zuhil Qaiyum, 34, membuat kejutan menghadiahkan sepasang busana persis songket Siti Nurhaliza untuk digayakan pada hari bahagianya.

ARTIKEL BERKAITAN“Nak melaram acah diva, bajet ciput” - Che Tam mengamuk, bakal pengantin mahu baju kahwin Fasha Sandha harga RM350

ARTIKEL BERKAITAN: "Bini kau lawa ok!" - Pengantin tampil glamor, komen negatif berubah di hari persandingan

"Awalnya saya tak tahu dan tak pernah terfikir abang nak buat kejutan untuk saya. Sebenarnya abang saya yang minta nak baju macam Siti.

"Seminggu sebelum majlis resepsi, baru abang maklumkan itu baju saya. Tak sangka dan tak pernah saya bayangkan akan pakai baju seperti Siti Nurhaliza. Dia memang peminat fanatik Datuk Siti sejak kecil. Setiap kali ada konsert dia akan pergi dan tak pernah missed!

"Saya tak tahu berapa ribu dia habis untuk baju itu," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Kisah Intan itu mencuri perhatian pengguna Facebook selepas pereka fesyen busana itu berkongsi kisah merealisasikan impian pasangan pengantin untuk menggayakan songket persis Datuk Seri Siti Nurhaliza pada majlis resepsi mereka.

Bercerita lanjut, Intan berkata dia pada mulanya berasa tidak yakin untuk mengenakan busana itu kerana sering disindir memiliki tubuh badan gempal.

"Awalnya saya takut nak pakai baju tu kalau-kalau ia tak sesuai dengan saya. Saya tertanya juga adakah cantik kalau saya pakai.

"Sebelum ni ramai yang sindir orang gemuk tak cantik pakai baju kawin. Mungkin niat mereka nak melawak tapi mereka tak fikir perasaan saya macam mana.

"Tapi abang Ikmal berjaya membuktikan sebaliknya. Sebulan sebelum saya bernikah, saya nekad pergi berzumba untuk kuruskan badan. Alhamdulillah, saya turun 12 kilogram," katanya.

Busana perkahwinan Intan memiliki rekaan hampir sama dengan pakaian Siti Nurhaliza.

Tambah Intan lagi, dia tidak menyangka jika rekaan busana itu hampir sama dengan rekaan asal yang dipakai Siti Nurhaliza.

"Abang pernah tanya kalau-kalau saya nak pakai baju macam Siti masa bersanding nanti... siapa tidak mahu lebih-lebih lagi saya juga peminat Siti dari kecil.

"Masa saya pakai baju tu waktu fitting, baru saya perasan baju itu hampir sama dengan baju Siti.

"Saya tak sangka mereka boleh buat baju itu sangat sama dengan Datuk Siti sebab saya tahu, kalau nak buat sama pasti harganya mencecah RM30,000. Saya pun bukanlah orang yang berkemampuan," jelasnya yang bertugas sebagai jurujual di sebuah pasaraya di Alor Setar, Kedah.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Intan memberitahu dia begitu teruja saat mengenakan busana berkenaan yang direka oleh rakan baik abangnya, Ikmal Mukmin.

"Pereka fesyen itu sebenarnya kawan baik abang saya. Mereka sudah berkawan ketika bersama-sama menari untuk Kesenian Kebudayaan Negeri Kedah lagi. Betul-betul tak sangka rekaan itu yang berkenan di mata abang. Mungkin dia nak tengok saya cantik di hari bahagia.

"Tak sangka dengan pengalaman dimiliki abang Ikmal, baju itu sangat cantik! Saya serahkan kepercayaan kepadanya sahaja. Takut juga kalau orang cakap baju saya nak tiru Siti tapi saya tak ambil kisah.

"Mereka sangat bersungguh-sunggu buat majlis itu. Pengorbanan mereka menjayakan majlis itu tak mampu nak balas," ujarnya.

Siti Nurhaliza, songket

Artikel Lain