"Nak nyanyi lagu Saleem perlu minta izin, bayar!" - Isteri Allahyarham beri amaran ambil tindakan undang-undang - Hiburan | mStar

"Nak nyanyi lagu Saleem perlu minta izin, bayar!" - Isteri Allahyarham beri amaran ambil tindakan undang-undang

ISTERI kepada penyanyi Allahyarham Saleem iaitu Julia Bachok memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan anak tirinya, Syafiq Farhain.

Menurut Julia, kemelut yang melanda mereka sebelum ini berpunca daripada syarikat rakaman yang mengambil kesempatan mempromosikan Syafiq dengan menggunakan nama suaminya itu tanpa sebarang bayaran.

"Saya tak pernah lupakan dia. Malah untuk showcase Saleem kali ini kita juga ada menjemput dia untuk bersama-sama membuat persembahan. Tak salah pun nak panggil dia kalau dia nak, saya akan bayar.

"Sebetulnya isu sebelum ini, saya bukan marahkan dia. Saya marahkan syarikat. Sekalipun mereka nak guna nama arwah  izinkan tapi mereka perlu bayar. Saya pun perlukan duit nak hidup.

"Lagipun saya fikir mungkin Syafiq masih muda... kami bukan bergaduh pun dan kami boleh bergambar bersama," ujarnya kepada mStar.

Julia ditemui selepas sidang media Showcase Supernova Kesinambungan Seni Lagendary ‘S’ remembering Saleem bertempat di House Bar, G Tower, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia sempat bergurau dan cuba lawan sakit" - Isteri Allahyarham Saleem

ARTIKEL BERKAITAN: Saleem Iklim meninggal dunia selepas sebulan kemalangan

Allahyarham Saleem meninggal dunia pada 14 Oktober 2018 selepas sebulan terlantar akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, Julia turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya membuat duit menggunakan nama arwah suaminya.

Mereka perlu berbincang dengan saya terlebih dahulu. Saya tak nak orang lain ambil keuntungan tanpa pengetahuan saya.

- Julia Bachok

Isteri Allahyarham Saleem

"Jangan nak buat duit atas nama arwah dan lagu-lagu dia. Mereka perlu berbincang dengan saya terlebih dahulu. Saya tak nak orang lain ambil keuntungan tanpa pengetahuan saya sebab arwah masih ada anak yang memerlukan dana untuk belajar.

"Saya bukan tak kasi mereka menyanyikan lagu arwah tetapi harus meminta izin daripada saya terlebih dahulu.

"Mana-mana individu yang masih berdegil, mereka akan berdepan tindakan undang-undang dan saya juga sudah ada peguam sendiri,” ujarnya.

Selain itu, Julia turut mendedahkan sebuah syarikat rakaman tempatan pernah mengambil kesempatan mengaut keuntungan tanpa pengetahuannya apabila melancarkan beberapa single seminggu selepas kematian Saleem.

Allahyarham Saleem meninggal dunia selepas sebulan kemalangan jalan raya.

"Sebelum ini ada individu yang pernah kantoi dengan saya sebab keluarkan cd arwah seminggu selepas pemergiannya.

"Saya telah ke syarikat berkenaan dan individu terbabit sudah memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Sudah hampir 30 tahun saya dalam industri dan saya tahu selok-beloknya. Mereka cuma perlu minta izin saya sahaja,” katanya.

Bercerita mengenai Showcase Supernova Kesinambungan Seni Lagendary ‘S’ remembering Saleem, Julia berkata ia merupakan impian arwah Saleem dan bakal direalisasikan selepas raya nanti.

"Showcase ini merupakan kesinambungan daripada arwah sendiri dan saya sahut cabaran untuk merealisasikan impiannya untuk menyambung legasi konsert amal ini.

"Ia akan berlangsung bermula dari Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan beberapa negara termasuk Indonesia, Sabah dan Sarawak.

"Sumbangan akan disalurkan kepada beberapa artis veteran yg memerlukan selain disalurkan kepada rumah anak-anak yatim piatu,” katanya.

Showcase Supernova Kesinambungan Seni Lagendary ‘S’ remembering Saleem bakal menampilkan 15 artis termasuk Amirul Saleem, Irwan Ahmad (Mentor Otai) dengan kompilasi 24 lagu selama dua jam.

Saleem , Syafiq Farhain

Artikel Lain