suria

Niat mati syahid Heliza Helmi disamakan dengan pengganas, ini penjelasan ustaz

Heliza Helmi impi mati syahid.

KENYATAAN penyanyi Heliza Helmi yang mengimpikan untuk mati syahid ketika melakukan aktiviti kemanusiaan dan bantuan di negara bergolak Syria perlu dilihat dalam konteks yang betul dan jelas.

Jelas pendakwah bebas yang juga Pencetus Ummah (PU) Amin, penyanyi itu perlu mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya pihak musuh.

"Keinginan Heliza untuk mati syahid adalah perkara yang betul supaya dia menambah motivasi kepada dirinya untuk lakukan aktiviti kemanusiaan itu.

"Namun ia ada syaratnya. Janganlah mengorbankan diri dalam keadaan sengaja dengan tidak mengikut prosuder kesalamatan yang betul semata-mata ingin mati syahid.

"Sekiranya dia terlibat dalam kemalangan yang tidak dirancang dan takdir menyebabkan dia meninggal dunia, maka matinya ketika berada di jalan Allah, " ujarnya kepada mStar Online pada Isnin.

Heliza Helmi antara artis yang aktif dengan misi kemanusiaan ke Syria.

PU Amin diminta mengulas tentang kenyataan Heliza yang menginginkan untuk mati syahid ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Syria mendapat pelbagai reaksi netizen.

Terdapat segelintir netizen yang menyamakan tindakan Heliza dengan perjuangan pengganas.

Menghuraikan mengenai pandangan tersebut, PU Amin berkata, apa yang dilakukan pengganas atau pengebom berani mati tidak boleh disifatkan sebagai jihad.

Jelasnya, perbuatan yang dilakukan kumpulan pengganas bukan sahaja mengancam musuh, malah turut memudaratkan ramai pihak yang tidak bersalah.

Mereka juga disifatkan tidak berilmu dan mempunyai ideologi tertentu.

"Mengaitkan tindakan Heliza itu ada kaitan dengan pengganas adalah tak betul kerana kelompok itu tidak berilmu.

"Tujuan mereka bukan sahaja memudaratkan musuh, malah kanak-kanak, wanita, orang tua serta rumah ibadah juga dimusnahkan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai tafsiran mati syahid, PU Amin berkata terdapat tiga bahagian mengenainya iaitu, syahid dunia, syahid akhirat dan syahid di dunia dan akhirat.

"Syahid di dunia iaitu orang anggap dia syahid di dunia tapi tidak di akhirat. Syahid akhirat iaitu di dunia orang anggap dia mati dalam keadaan biasa namun dijanjikan ganjaran di akhirat.

"Syahid di dunia dan akhirat pula adalah pengiktirafan kekal di dunia dan akhirat menerusi amalannya," ujarnya.

Heliza Helmi, PU Amin

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita berang mentua melahap kek perkahwinan