suria

Issey sanggup menduda, belum sedia kahwin lagi

Issey mahu memberi fokus kepada kerjaya seni sebelum berfikir tentang soal kahwin.

HAMPIR tiga tahun menduda, penyampai radio dan pelawak Issey memberitahu dia tidak percaya media sosial seperti Instagram adalah medium terbaik untuknya mencari calon isteri.

Mengakui pernah mendapat pelbagai mesej daripada wanita yang ingin berkenalan dengannya namun Issey atau Fazlisham Mat Hussin, 32, berkata, dia tidak pernah melayan kerana tidak mahu timbul sebarang salah faham di kemudian hari.

"Dapat mesej daripada pengikut wanita itu biasa malah ada yang ingin berkenalan tetapi saya tidak layan kerana tidak mahu timbul salah faham.

"Tambahan pula saya tidak percaya dengan mencari jodoh menggunakan laman sosial kerana lebih baik guna cara konvensional," katanya.

Issey pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015 sebelum bercerai pada 21 Ogos 2016. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Issey elak cari jodoh menerusi laman sosial. 

Dalam pada itu, Issey memberitahu dia masih solo bukan kerana takut atau serik untuk berkahwin tetapi buat masa ini dirinya sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.

"Siapa yang tidak sunyi apabila balik ke rumah tiada siapa yang sambut terutamanya kalau melihat rakan-rakan sebaya semuanya sudah beranak-pinak.

"Tetapi soal jodoh ini ditangan Allah... Kalau bertemu dengan pasangan yang sesuai dan ada jodoh pasti saya akan berkahwin cuma sekarang memang tiada tambahan pula sibuk dengan kerjaya seni.

"Serik itu sama sekali tidak... Apa yang berlaku dahulu pun masing-masing ada kesalahan dan saya ambil kegagalan dahulu sebagai pengajaran dan belajar untuk menjadi seorang suami yang lebih baik," katanya.

Menolak jodoh daripada golongan selebriti, Issey memberitahu dia berharap dipertemukan dengan wanita biasa yang boleh memahami dirinya dan kerjayanya.

Siapa yang tidak sunyi apabila balik ke rumah tiada siapa yang sambut terutamanya kalau melihat rakan-rakan sebaya semuanya sudah beranak-pinak.

ISSEY

PENYAMPAI RADIO/PELAKON

Kata Issey lagi, dia juga tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dengan ibu tunggal atau pun wanita yang masih bujang.

"Bukan tidak mahu golongan selebriti tetapi kalau jumpa dengan wanita yang tidak sama bidang mungkin kehidupan itu lebih berwarna dan berbeza.

"Saya ringkas sahaja... Janji kami saling memahami saya tidak kisah sekiranya jodoh saya seorang ibu tunggal atau bujang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Issey memberitahu dia terharu apabila single pertamanya berjudul Alololo mendapat sambutan luar biasa penonton apabila ia mencatat 2.3 juta tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan ia dilancarkan.

Selain tugas di konti radio Suria FM, dia juga sibuk menjalani penggambaran beberapa drama termasuk untuk siaran Aidilfitri nanti.

Issey, Alololo, Suria FM

Artikel Lain