suria

“Saya tak faham… Dari dulu orang kata saya dah kahwin!” - Linda Nanuwil

Linda bersedia untuk kembali ke industri hiburan tempatan.

BEKAS peserta Akademi Fantasia 2, (AF2) iaitu Linda Nanuwil menafikan dia mempunyai hubungan atau sudah berkahwin dengan mana-mana individu berpengaruh atau ahli politik.

Linda, 35, berkata, khabar angin tersebut tidak benar sama sekali dan dia tidak pernah berhubung dengan individu berkenaan.

"Saya tidak faham daripada dulu orang kata saya sudah berkahwin dengan VVIP yang juga ahli politik sedangkan saya tidak pernah berkahwin pun.

"Ada yang dakwa datang majlis sayalah dan sekarang mereka kata pula saya sudah diceraikan. Saya malas nak layang dan biarkan sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Linda yang popular dengan lagu Jika Kau Kekasih itu ditemui pada majlis sidang media konsert Reunion Akademi Fantasia 2.

Linda (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan Akademi Fantasia 2.

Kata Linda, dia masih single, namun sudah mempunyai teman lelaki. Tambahnya, dia ada perancangan untuk berumah tangga sebelum usia 40 tahun.

"Saya ada teman lelaki dan ada perancangan untuk berkahwin tapi bukan dalam masa terdekat.

"Saya tidak mahu terburu-buru kerana selepas ibu bapa saya meninggal dunia saya jadi hilang semangat untuk berkahwin," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya kehilangannya selama hampir 12 tahun, Linda berkata, dia memilih untuk menetap di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah selepas  ibu-bapanya meninggal dunia.

Namun, dia masih aktif sebagai penyanyi dan memenuhi jemputan di sekitar negeri tersebut.

"Saya balik kampung dan tidak meneruskan kerjaya nyanyian di Kuala Lumpur kerana kedua ibu bapa saya ketika itu sakit. Mereka sudah meninggal dunia dan saya terus buat keputusan untuk menetap sahaja di Sabah.

"Saya aktif memenuhi undangan nyanyian di Sabah dan sekarang baru saya cuba untuk cari ruang semula di sini," ujarnya.

Linda Nanuwil, AF2

Artikel Berkaitan

Artikel Lain