suria

Hamil selepas 3 tahun kahwin, ramai minta Anzalna tip tapi bimbang gores hati wanita belum ada anak

Anzalna Nasir

PELAKON Anzalna Nasir memberitahu ramai wanita yang meminta tip dan mahu dia berkongsi tentang kehamilan dirinya di laman sosial Instagram.

Bagaimanapun, Anzalna, 31, berkata, dia terlalu berhati-hati dalam setiap perkongsiannya agar tidak mengores hati wanita lain yang belum dikurniakan rezeki berupa anak.

“Ramai yang mesej minta petua dan mahu saya berkongsi tentang kehamilan, bukan saya tidak mahu tapi mungkin bukan di laman sosial.

“Saya tidak mahu mengores perasaan wanita yang belum dikurniakan cahaya mata. Saya akan berkongsi secara tidak berlebih-lebihan seperti saya seorang sahaja yang hamil,” ujarnya kepada mStar Online.

Anzalna berkata demikian ketika menjadi tetamu pada majlis pelancaran produk pembersih dalaman wanita Vsensual pada Isnin.

Pelakon drama Dendam Aurora itu mengakui laman sosialnya mula menjadi perhatian selepas mengumumkan berita tentang kehamilan setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Mohamad Hanif Zaki.

Sementara itu, Anzalna berkata, dia menjalani proses hamil sepanjang enam bulan itu dengan lancar.

Katanya, dia juga belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi dalam kandungannya itu.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar, saya tiada pula mengidam yang pelik-pelik. Bayi dalam kandungan sihat dan InsyaAllah nanti sampai masanya saya akan berkongsi.

“Saya rasa enam bulan masih terlalu awal dan ia masih dalam kandungan lagi,” ujarnya.

Anzalna turut mengingatkan agar wanita tidak terlalu ghairah mempercayai produk yang menawarkan kehamilan dengan mudah.

“Banyak produk di pasaran yang kononnya untuk hamil, jangan terlalu percaya dan buat kajian sama ada produk itu selamat atau tidak,” ujarnya.

Anzalna Nasir

Artikel Lain