suria

Erra Fazira guna khidmat Hafiz Hamidun dalam ‘Menangkah Cinta?’

Erra Fazira bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Menangkah Cinta? tidak lama lagi. Foto AFIQUE YUSOFF

PELAKON Erra Fazira akan merancakkan kembali karier nyanyiannya apabila bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Menangkah Cinta?  tidak lama lagi.

Erra atau Fazira Wan Chek, 45, berkata, kemunculan lagu terbaharu itu sebagai pengubat rindunya kepada bidang nyanyian selain merealisasikan impian peminat yang sering bertanya akan hal tersebut.

"InsyaAllah tidak lama lagi saya akan muncul dengan lagu baru dan sekarang pun sedang dalam persediaan untuk masuk ke studio rakaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Cakap nak meminang, tapi tiada… Erra Fazira tak pasti hubungannya dengan Shahir

"Kalau cakap soal rindu itu memang sentiasa ada kerana sudah begitu lama saya tidak muncul dengan lagu baru dan Menangkah Cinta? sebagai hadiah buat peminat setia saya," katanya kepada mStar Online.


Erra rindu bidang nyanyian.

Menangkah Cinta? mendapat sentuhan komposer dan penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun serta Iman Imran sebagai penulis lirik.

Untuk rekod, Erra kali tampil dengan album penuh menerusi Ya atau Tidak yang dilancarkan pada 2006.

Manakala pelakon filem Sembilu itu kali terakhir muncul dengan single berjudul Hanya Kau duet bersama Datin Seri Umie Aida pada 2013.

Bercakap lanjut mengenai lagu tersebut, Erra tidak menyangkal lirik itu mempunyai kaitan dengan dirinya malah dia sendiri memberi idea kepada penulis lirik tentang tema yang dimahukan.

Hafiz Hamidun.

Pun begitu kata Erra, dia merasakan lagu itu nanti dapat dinikmati oleh semua pendengar kerana mesej yang ingin disampaikan bersifat universal.

Dalam pada itu, Erra berkata, sebagai antara langkah promosi lagu itu nanti, ia juga akan dijadikan sebagai lagu runut bunyi sebuah drama rantaian yang akan diumumkan kemudian.

Dalam perkembangan lain, Erra berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem berjudul Rumah tidak lama lagi selain masih sibuk di lokasi drama kepolisian, Gerak Khas.

Selain itu, Erra juga akan bertindak sebagai juri profesional dalam program realiti Miss Lawak bersama Datuk AC Mizal bermula 6 Mac ini di Astro Warna.

Artikel Lain