suria

Najua jadi pelawak, mahu teruskan legasi P. Ramlee

Najua P. Ramlee mahu meneruskan legasi datuknya seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Foto AFIQUE YUSOFF

PELAKON dan penyanyi Najua P. Ramlee menjelaskan keputusannya melibatkan diri dalam program realiti terbaharu Miss Lawak bukan sahaja kerana ingin mencuba bidang baharu dalam karier seninya.

Sebaliknya kata Najua, 33, penglibatannya itu juga kerana ingin meneruskan legasi datuknya yang juga seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dikenali sebagai seorang anak seni versetil.

"Jujur saya cakap sebenarnya saya seorang yang pemalu dan ingin menjadi seorang pelawak bukannya mudah tetapi saya cabar diri demi meningkatkan prestasi diri dan mengembangkan lagi karier seni saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cucu P. Ramlee, adik Achey dan Kak Girl antara 18 peserta ‘Miss Lawak’


Kak Girl (kiri) dan Tasha Hamzah yang juga adik kepada pelawak Achey turut berentap dalam Miss Lawak.

"Alhamdulillah saya diterima selepas menghadiri uji bakat dan penyertaan saya ini juga adalah untuk meneruskan legasi Allahyarham P. Ramlee sebagai seorang anak seni dengan bakat luar biasa.

"Saya mahu jadi sepertinya dan ini adalah antara usaha-usaha saya dalam mengembangkan minat mendalam terhadap bidang seni," katanya kepada mStar Online.

Miss Lawak bakal menemui penonton bermula 6 Mac ini pada setiap hari Rabu, 9 malam di Astro Warna dan Warna HD.

Seramai 18 peserta akan berentap dalam merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Najua mahu cabar diri dalam bidang lawak.

Dalam pada itu, Najua berkata, dia tidak kisah jika penyertaannya dalam program itu mendapat kritikan termasuk akan ada perbandingan dengan P. Ramlee.

Kata Najua, dia tidak boleh lari daripada perkara itu namun berharap orang akan melihat bakatnya sendiri tanpa bayangan sesiapa.

"Saya tak kisah pasal orang nak fikir kerana pokok pangkalnya diri sya sendiri... Yang penting saya mencuba daripada tidak berbuat apa-apa.

"Orang buat perbandingan itu saya sudah terbiasa tetapi sudah tentu saya harap orang iktiraf bakat saya kerana diri saya dan bukannya siapa dibelakang saya.

Miss Lawak akan mula bersiaran pada 6 Mac ini.

"P. Ramlee adalah sebahagian daripada diri saya dan selamanya saya tidak boleh lari daripada hakikat itu," jelasnya.

Miss Lawak 2019 menampilkan Datuk Afdlin Shauki sebagai pengacara di samping dua juri tetap iaitu Datuk AC Mizal dan Erra Fazira.

Program komedi itu akan mula ditayangkan pada 6 Mac ini, pukul 9 malam.

Najua P. Ramlee, Miss Lawak

Artikel Lain