suria

Khai Bahar ajak peminat buat umrah Ramadan tapi dengan satu syarat!

Khai Bahar sudah dua kali mengerjakan umrah.

PENYANYI Khai Bahar berharap peminat yang ingin menyertai rombongannya menunaikan umrah pada Ramadan depan memasang niat yang betul sebelum membuat keputusan berkenaan.

Khai berkata, dia tidak mahu mereka menyertai rombongan itu meletakkan niat untuk bertemu dirinya dan bukan beribadah.

"Saya bimbang fikiran orang yang nak ke sana sebab saya. Saya tak nak orang fikir lain selain untuk beribadah.

"Sebab itu saya mahu mereka betulkan niat dahulu ke sana iaitu kerana untuk beribadah bukan sebab saya walaupun saya ada dalam rombongan itu," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah dapat 17 anugerah, bukan semua kenal Khai Bahar

Khai ditemui pada majlis pelantikannya dan Azadan (Rabbani) sebagai ikon agensi umrah Raza Holiday Sdn Bhd.

Penyanyi lagu Bayang itu meluahkan rasa syukur terhadap rezeki diberi peluang menunaikan umrah kali kedua ini.

Khai Bahar (tiga dari kiri), Azadan Rabbani (tiga dari kanan) bersama wakil Raza Holiday Sdn Bhd dan syarikat rakamannya.

"Alhamdulillah saya bersyukur dapat rezeki menunaikan umrah dan saya tidak tolak kerana ini peluang yang baik.

"Kali ini saya ditawarkan untuk bawa peminat yang berminat untuk menunaikan umrah dengan agensi ini.

"InsyaAllah pada bulan Ramadan kami akan berangkat selama 12 hari dengan harga yang berpatutan," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang aktiviti Islamik yang disertai sejak kebelakangan ini, Khai memberitahu dia tidak mahu digelar sebagai ustaz.

Menurutnya, dia seorang manusia biasa yang berusaha untuk menjadi seseorang yang melakukan kebaikan.

"Saya bimbang juga apabila ada yang fikir saya terlalu baik atau ustaz yang tidak boleh buat salah.

"Kadang-kadang bila saya rapat dengan artis wanita ada yang mula tegur dan tidak suka. InsyaAllah saya akan cuba menjaga apa yang baik dan tidak tapi saya ini menusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan," ujarnya.

Khai Bahar

Artikel Lain