Syamel zahirkan keinginan adakan konsert tapi bimbang orang tak datang - Hiburan | mStar

Syamel zahirkan keinginan adakan konsert tapi bimbang orang tak datang

Syamel bakal mengadakan showcase di Singapura dan Malaysia tidak lama lagi.

KEHEBATAN vokal penyanyi Syamel memang tidak dapat disangkal malah bukan sesuatu mengejutkan apabila bekas peserta program Akademi Fantasia 2015 itu merangkul trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Cinta ketika Anugerah Juara Lagu bersama Ernie Zakri tahun lalu.

Bagaimanapun di sebalik kecemerlangannya dalam bidang nyanyian, Syamel memberitahu sebelum ini dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk mengadakan konsert solonya sendiri.

Ini kerana kata Syamel, dia masih merasakan dirinya belum mencapai tahap yang boleh membuatkan peminat sanggup mengeluarkan wang untuk hadir menyaksikan persembahannya.

"Hasrat hati itu memang teringin sangat nak buat konsert atau showcase sendiri tapi saya tiada keyakinan nak buat sebab takut orang tak datang.

"Tambahan pula saya masih merasakan diri saya baru lagi dalam industri namun tidak menolak sekiranya ada peluang berbuat demikian," katanya kepada mStar Online.


Syamel mengakui pernah berasa kurang keyakinan mengenai idea untuk mengadakan showcase buat peminatnya.

Syamel ditemui pada majlis pelancaran DTC Motors Sdn Bhd yang diadakan pada Sabtu lalu.

Pun begitu kata Syamel, perasaan itu tidak lagi jadi penghalang kerana dia merancang untuk mengadakan sebuah showcase di Singapura dan Malaysia pada tahun ini dan berharap perancangan itu menjadi kenyataan.

"Insya-Allah kalau ada rezeki dan ada pihak sudi menaja maka jadilah showcase itu nanti.

"Peminat di Singapura juga sering bertanya bila saya hendak ke sana mengadakan persembahan maka timbullah idea ini dan selepas di negara sebarang baru saya akan adakan di Malaysia pula," katanya.

Syamel mendapatkan bantuan Ernie Zakri bagi melatih vokalnya untuk AJL 33.

Dalam perkembangan lain, Syamel berkata, dia kini sedang giat mengadakan latihan untuk Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) yang bakal berlangsung pada awal bulan depan.

Beritahunya, dia bakal menampilkan sebuah persembahan berbeza namun tidak meletakkan harapan untuk mengekalkan trofi Vokal Terbaik yang disandangnya tahun lalu.

"Persembahan saya itu nanti akan banyak elemen yang tak pernah orang buat dan saya juga sedang giat berlatih menari.

"Pertahankan trofi kemenangan bukan fokus saya kerana tahun ini seperti kita tahu banyak artis-artis lebih senior yang mempunyai vokal mantap turut bertanding," jelasnya.

Pada AJL33, Syamel bakal mempertaruhkan lagu berjudul Kau Pun Sama ciptaannya dan Kidd Shanthe.

Syamel , AJL 33

Artikel Lain