suria

Altimet sah bersara... kalau ada nak ‘tawar’ menyanyi tanya ibu dulu

Altimet sah bersara daripada bidang nyanyian di usia 40 tahun.

PENYANYI Rap, Altimet secara rasmi mengumumkan persaraannya sebagai penyanyi pada ulang tahun kelahirannya ke-40, Selasa.

Bagaimanapun, Altimet memberitahu dia bakal muncul dalam satu konsert istimewa untuk peminat pada Februari tahun depan.

"Saya akan berhenti sebagai rapper dan selepas album terakhir ini tiada lagi persembahan daripada saya melainkan satu persembahan khas iaitu konsert terakhir tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang info, tutup mulut! – Altimet balas komen netizen minta ‘Bunga’ tarik diri AJL33

ARTIKEL BERKAITAN: Semalam hari terakhir Altimet sebagai penyanyi rap, peminat cadang dia jual karipap

"Bermula hari ini sehingga konsert itu tiada apa-apa persembahan yang akan saya buat. Saya akan bercuti dan berehat secukupnya," kata Altimet kepada mStar Online.

Altimet ditemui semasa pengumuman album terakhir berjudul 0 yang diadakan di General Space, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Dalam konsert istimewa tersebut, Altimet membuat persembahan selama dua jam bersama beberapa penyanyi jemputan.

Altimet (tengah) bersama Cuurley (kiri) dan Pengarah Urusan Warner Music, Darren Choy.

Bagaimanapun, tarikh dan lokasi masih belum ditetapkan dan akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, penyanyi lagu Bunga ini berkata keputusan untuk bersara ini turut mendapat sokongan penuh daripada ibunya, Jamalah Agil.

Justeru itu, jika ada mana-mana pihak yang ingin menawarkan peluang nyanyian atau persembahan selepas ini perlu mendapatkan kebenaran ibunya.

"Ibu antara penyokong keputusan ini, dia tak melarang saya untuk berhenti menyanyi dan dia paling bersetuju dengan pilihan saya ni.

"Kalau selepas ini ada mana-mana pihak nak suruh menyanyi, kena target ibu saya dulu. Kalau dia kata OK, mungkin boleh tapi saya rasa tak!," katanya.

Meskipun tidak lagi bergelar penyanyi, Altimet tidak akan berhenti daripada menghasilkan lagu dan menulis lirik untuk penyanyi lain.

Bercakap mengenai album 0, ia mengandungi 13 lagu dan bakal didapati menerusi platform digital bermula 7 Disember dan secara fizikal pada 21 Disember ini.

Single pertama berjudul Bersamamu featuring bersama Cuurley sudah boleh ditonton di laman Youtube.

Altimet

Artikel Lain