suria

Kehidupan berubah, Usop jadi takut

Usop akui kehidupan berubah selepas Mentor Milenia 2017. Foto Instagram: @usopofficial.

PENYANYI Usop (Mentor) mengakui kehidupannya berubah hampir seratus peratus selepas memenangi tempat kedua Mentor Milenia 2017.

Usop atau Saiful Naim Muhd Noor, 21, berkata perubahan tersebut membuatkan dia berasa takut sekiranya ada membuat kesilapan secara tidak sengaja.

"Sejujurnya, kehidupan saya berubah 95 peratus selepas program itu tamat. Semua orang mula perhatikan dan mengenali saya.

"Menyebabkan saya berasa takut kalau-kalau ada buat kesilapan yang tidak disengajakan dan orang terus membenci saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usop (Mentor) kurus, tak lalu makan kerana digodam


Usop bimbang lakukan kesilapan tidak disengajakan.

"Tapi Alhamdulillah, setiap hari saya belajar perkara baharu dan mengambil semua itu secara positif," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, mentor Usop dalam program tersebut iaitu penyanyi Hazama pernah memberitahu populariti mendadak yang diraih Usop seperti mengulangi kembali fenomena Mawi di program realiti Akademi Fantasia 3.

Selepas program realiti tersebut tamat, Usop seakan-akan 'menghilang' dari industri seni selama hampir setahun.

Bagaimanapun, Usop berkata dia masih lagi aktif menyanyi namun hanya untuk majlis atau acara luar sahaja.

"Ramai yang bertanya kemana saya menghilang selama setahun tak muncul dalam mana-mana program TV atau radio. Tapi sebenarnya, saya masih lagi aktif menyanyi.

Usop tampil dengan lagu terbaharu.

"Setiap bulan saya ada sahaja buat persembahan di majlis atau acara luar. Mungkin sepanjang setahun itu, rezeki saya dalam industri muzik belum lagi ada," ujarnya.

Dalam pada itu, Usop kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Aku Yang Bersalah yang dianggap sebagai kemunculan semulanya.

Usop berharap dengan lagu terbaharunya ini memberi peluang untuk dia berada dalam industri seni bersama rakan-rakan artis yang lain.

"Alhamdulillah, single terbaharu saya kini sudah dilancarkan. Bagi saya, lagu ini merupakan kemunculan semula saya dalam industri.

"Malah, lagu ini juga dapat menonjolkan vokal dan jiwa saya. Saya berharap dapat membuka peluang untuk saya berada dalam industri bersama rakan artis yang lain," katanya.

Usop

Artikel Lain