Pak Ngah Suhaimi meninggal dunia di Batam - Hiburan | mStar

Pak Ngah Suhaimi meninggal dunia di Batam

Komposer terkenal Pak Ngah meninggal dunia pada Selasa di Batam, Indonesia.

DIKEMAS KINI

PETALING JAYA: Komposer lagu irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah (gambar) meninggal dunia di Batam, Indonesia kira-kira pukul 3 petang Selasa.

Berita itu disahkan oleh ahli keluarga Allahyarham yang minta tidak disiarkan namanya.

Komposer yang berusia 60 tahun itu dikatakan rebah secara tiba-tiba.

Dia bersama isterinya, Datin Sharifah Muhani dan seorang anak mereka pergi ke Batam atas urusan kerja.

Keluarga Allahyarham kini dalam proses untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia bagi urusan pengebumian.

Allahyarham menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Dalam dunia hiburan, nama Pak Ngah tidak asing lagi terutama menerusi penciptaan lagu-lagu Irama Malaysia.

Dia mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan menerusi Anugerah Juara Lagu 1999.

Lagu berkenaan ialah Hati Kama, Samrah Mentari dan Dondang Dendang yang seterusnya membolehkan dia memenangi kategori itu.

Nama Pak Ngah terus diukir selepas menerbitkan album 'Ala Dondang' nyanyian Noraniza Idris pada tahun 1997.

Dua tahun kemudian Pak Ngah terus meraih populariti selepas menerbitkan album Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Album itu mendapat mendapat pengiktirafan lima platinum pada tahun 2000 atas penjualan melebihi 250,000 unit.

Allahyarham juga pencipta lagu patriotik iaitu Jalur Gemilang.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Pak Ngah meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Tanjung Pinang, Batam.

Allahyarham dilaporkan tidak sedap badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di bandar itu sejak Jumaat lalu.

Pak Ngah meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan sepasang cahaya mata.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dari Batam pada pagi Rabu dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini sebaik tiba pada hari yang sama.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek, Kampung Baru.

Pak Ngah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain