Gurau senda Pak Ngah kekal dalam ingatan Siti Nurhaliza - Hiburan | mStar

Gurau senda Pak Ngah kekal dalam ingatan Siti Nurhaliza

PENYANYI terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menzahirkan rasa sedih dan terkesan dengan berita kehilangan komposer irama Malaysia iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.

Siti, 39, berkata, komposer berkenaan banyak membantu beliau dalam perjalanan awal kerjayanya sebagai penyanyi.

"Saya berasa sedih terkesan dengan kehilangan Pak Ngah kerana sudah anggap Pak Ngah sebagai keluarga sendiri.

"Kenangan serta gurau senda Pak Ngah akan kekal dalam ingatan. Dia antara insan yang mula-mula jaga saya dan mahu bekerjasama dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Pak Ngah Suhaimi meninggal dunia, rebah di Batam


Komposer lagu Cindai ini meninggal dunia di Batam, Indonesia kira-kira pukul 3 petang Selasa.

Berita itu disahkan oleh ahli keluarga Allahyarham yang minta tidak disiarkan namanya.

Komposer yang berusia 60 tahun itu dikatakan rebah secara tiba-tiba. Dia bersama isterinya, Datin Sharifah Muhani dan seorang anak mereka pergi ke Batam atas urusan kerja.

Sementara itu, Siti juga menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, kata Siti karya-karya Pak Ngah akan terus terus hidup biarpun beliau sudah tiada.

Siti berkata, kali terakhir dia bekerjasama dengan Allahyarham menerusi lagu raya berjudul Hari Kemenangan  dua tahun lalu.

Pak Ngah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan menerusi Anugerah Juara Lagu 1999.

Lagu berkenaan ialah Hati Kama, Samrah Mentari dan Dondang Dendang yang seterusnya membolehkan dia memenangi kategori itu.

Nama Pak Ngah terus diukir selepas menerbitkan album 'Ala Dondang' nyanyian Noraniza Idris pada tahun 1997.

Dua tahun kemudian Pak Ngah terus meraih populariti selepas menerbitkan album Cindai nyanyian Siti.

Album itu mendapat mendapat pengiktirafan lima platinum pada tahun 2000 atas penjualan melebihi 250,000 unit.

Antara lagu lain ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan Siti Nurhaliza ialah Balqis, Hati Kama, Bergending Dang Gong, Ya Maulai, Nirmala dan Kurik Kundi.

Sirti Nurhaliza , Pak Ngah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pak Ngah Suhaimi meninggal dunia di Batam

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Derita si janda muda