suria

Serina bengang produknya dituduh punca pesakit kanser meninggal dunia

Serina Redzuawan bengang apabila ada pihak cuba memfitnah produk keluarannya dengan cerita tidak benar. Foto Instagram @serinaredzuawan

SERINA Redzuawan berang apabila seorang wanita mendakwa ibu saudaranya yang menderita penyakit kanser meninggal dunia selepas minum produk jus durian belanda keluaran pelakon itu.

Menganggap dakwaan itu sebagai satu unsur sabotaj terhadap perniagaannya, Serina menjelaskan tuduhan itu tidak logik kerana produknya itu hanya dikeluarkan tahun lalu manakala ibu saudara wanita itu meninggal dunia pada 2015.

"Masya-Allah ada juga yang busuk hati nak sabotaj bisnes Serina. Nak tuduh kononnya kerana air ini punca Mak Long dia meninggal dunia.

"Logiklah sikit air ini saya baru keluarkan 2017, macam mana pula Mak Long dia meninggal 2015, air ini pun tak wujud lagi," tulisnya di Instagram.

Menerusi status yang dibuat wanita itu, dia mendakwa ibu saudaranya minum air tersebut selepas disyorkan oleh seseorang kepadanya.

Serina membuat penjelasan di Instagram miliknya.

Penjual itu mendakwa, ibu saudaranya tidak perlu lagi melakukan rawatan kimoterapi sekiranya minum jus tersebut namun perkara sebaliknya terjadi.

Wanita itu mendakwa, kanser ibu saudaranya merebak terus ke peringkat empat dalam tempoh kurang setahun gara-gara tidak melakukan kimoterapi dan rawatan susulan sehingga keadaannya tidak boleh diselamatkan lagi.

Dalam pada itu, menerusi status sama, Serina mengingatkan agar individu itu berhenti daripada terus menabur fitnah dan mengingati Allah sebelum melakukan sesuatu perkara dilarang agama.

Malah kata Serina, sebelum membuat sebarang tuduhan adalah lebih baik selidik terlebih dahulu sesuatu perkara itu kerana ia boleh mengundang fitnah.

"Kalau iya pun nak tutup periuk nasi orang ingatlah Allah sikit. Saya maafkan orang yang busuk hati ini.

"Sebelum nak guna gambar tu sesuka hati, selidik dahulu... Tarikh meninggal 2015, air saya ni pun belum wujud lepas tu nak post letak gambar produk dan peletak jenama saya cakap sampah, melampau... Fitnah terbesar!," katanya.

Sementara itu, Serina turut menggesa wanita itu untuk tampil mohon maaf atas perbuatannya memfitnahnya dan produk keluarannya.

Serina juga meminta agar peminat dan pelanggannya tidak mudah percaya dengan penipuan tersebut.

Serina Redzuawan

Artikel Lain