suria

Tiada istilah anak emas untuk ‘The Hantus’ - Nabil Ahmad

Nabil Ahmad menyangkal dakwaan dia mendapat jalan mudah daripada pihak Astro bagi menerbitkan filem televisyen (FTV) pertamanya, The Hantus.

PENGACARA dan pelawak Nabil Ahmad menegaskan tidak pernah timbul soal dia kononnya 'anak emas' Astro sehingga mendapat jalan mudah bagi menerbitkan filem televisyen (FTV) berjudul The Hantus yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif.

Nabil sebaliknya berkata, dia sebaliknya perlu melalui proses sama seperti mana produksi lain yang ingin mendapatkan slot rancangan di saluran berbayar itu.

"Memang saya mengenali ramai orang di Astro dan ramai menyangka saya tidak perlu bersusah payah tetapi telahan itu sebenarnya silap.

"Saya tidak diberikan sebarang keistimewaan sebaliknya perlu melalui proses 'pitching' sama seperti mana orang lain," katanya.

Nabil mempunyai minat mendalam terhadap penulisan skrip dan pengarahan.

Nabil ditemui pada majlis tayangan perdana The Hantus yang diadakan pada Rabu lalu.

FTV itu dibintangi oleh Hannah Delisha, Alif Satar, Khatijah Tan, Faizal Hussien serta Mimi Lana dan akan ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 15 Jun ini.

Dalam pada itu, Nabil berkata, jika dia menggunakan kabel namun produk yang dibentangkan tidak menepati kehendak dan piawaian Astro The Hantus mungkin tidak akan terhasil.

"Saya tidak rasa Astro akan memperjudikan kualiti sesuatu program tambahan pula ia melibatkan kos yang tinggi dalam menghasilkan sesuatu produk itu.

"Seperti The Hantus, saya membuat persediaan dengan teliti agar ketika pembentangan idea ia dapat diterima dan disukai. Alhamdulillah Astro suka dengan idea saya," ujarnya.

Barisan pelakon dan pihak penerbit FTV The Hantus.

Sementara itu, Nabil berkata, dia berharap The Hantus menjadi titik tolak untuknya mengembangkan lagi bakat sebagai seorang pengarah, penulis skrip dan penerbit.

"10 tahun dalam industri sudah tentu saya ingin memperbaiki diri dan melakukan sesuatu yang sudah lama menjadi minat saya.

"Alhamdulillah, ini adalah permulaan dan sebenarnya saya ada banyak lagi idea dan skrip yang ingin diketengahkan.

"Impian saya banyak, ingin lihat industri perfileman dan televisyen mengalami perubahan dan bukannya berada di takuk lama," katanya.

Nabil Ahmad, The Hantus

Artikel Lain