suria

Ummi Nazeera tidak lagi dilayan bak puteri raja

Ummi Nazeera dan suaminya Dr. Izzar. FOTO: SHAARI CHE MAT

PELAKON Ummi Nazeera mendedahkan sejak dirinya disahkan hamil anak pertama dia tidak lagi menerima layanan seperti puteri raja daripada suaminya, Dr. Mohd Izzar Anwari.

Sebaliknya kata Ummi, 28, Dr. Izzar kini lebih menyayangi bayi dalam kandungannya kerana teruja bakal bergelar seorang bapa.

“Sebelum hamil saya dilayan seperti puteri raja oleh suami tetapi sekarang semuanya sudah berbeza.

“Suami sekarang memberi layanan istimewa kepada anak dalam kandungan dan apa yang tidak bagus untuk bayi kami dia sangat mengambil berat.

“Sikapnya lebih garang jika saya tidak menjaga pemakanan atau buat sesuatu perkara yang mendatangkan kepada diri dan bayi kami,” katanya.

Ummi Nazeera tidak sangka kini hamil empat bulan.

Ummi ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta produk Duo Be’Cell yang diadakan pada Rabu.

Pada sidang media itu, Ummi yang turut ditemani suami mengumumkan dia sedang hamil empat bulan dan dijangka bersalin pada Oktober depan.

Dalam pada itu, Ummi berkata, dia sedar segala teguran dan sikap berjaga-jaga suami adalah untuk kebaikan dirinya dan anak yang bakal dilahirkan.

“Sebelum ini berat badan saya meningkat mendadak dan kandungan gula dalam darah agak tinggi dan doktor bimbang jika saya terkena penyakit diabetes ketika hamil.

“Sejak itulah suami memang sangat peka terhadap pemakanan saya walaupun kadang-kadang merajuk juga saya kerana nafsu makan memang membuak-buak sejak hamil,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Izzar mendedahkan isterinya membeli lima alat ujian kehamilan selepas doktor yang merawat kecederaan kakinya membuat ujian sama walaupun keputusannya samar-samar ketika itu.

Jelasnya, Ummi akan membuat ujian setiap hari sehinggalah alat tersebut menunjukkan keputusan positif pada hari ketiga ujian dilakukan.

“Ketika itu dia baru sahaja seminggu masuk ke set penggambaran filem Gol & Gincu Vol 2 dan saya faham dia ingin memastikan keadaan sebenarnya kerana tidak mahu menggangu kelancaran projek itu.

“Sebab itu dia beli sampai lima dan apabila buat ujian hasilnya masih lagi samar-samar sehinggalah pada hari ketiga barulah keputusan menunjukkan dia hamil.


Ummi Nazeera kini menjadi duta produk Duo Be’Cell.

“Sebagai suami sudah tentu saya sangat gembira kerana kehadiran cahaya mata akan menguatkan lagi kasih sayang di antara kami suami-isteri,” ujarnya yang tidak kisah tentang jantina anak mereka nanti.

Dalam perkembangan sama, Ummi berkata, dia bersyukur produksi Gol & Gincu Vol 2, Red Communication sangat memahami keadaan dirinya dan banyak mempermudahkan urusannya ketika penggambaran.

“Saya perlu puji Red Communication kerana sangat menjaga kebajikan pelakon ditambah dengan keadaan saya dan mereka sentiasa memastikan saya selesa sepanjang penggambaran.

“Sejak hamil memang kelincahan saya terganggu sedikit kerana mudah berasa letih dan mengantuk namun syukur kerana alahan tidak begitu teruk,” katanya.

Bercakap mengenai produk minuman berkhasiat Duo Be’Cell, Ummi berkata, dia dilantik sebagai duta untuk tempoh setahun selepas mencuba sendiri produk tersebut untuk tempoh tiga bulan.

“Alhamdulillah produk ini menggunakan ramuan semula jadi dalam membantu menjadikan rona kulit lebih berseri dan sekata.

“Sebelum bersetuju saya gunakannya terlebih dahulu dan selepas mendapat nasihat dan pandangan suami yang lebih pakar dari sudut perubatan barulah saya bersetuju,” ujarnya.

Ummi Nazeera

Artikel Lain