Ameng Jawab Tuduhan Tokok Tambah Cerita Semasa Jadi Banduan - Hiburan | mStar

Ameng Jawab Tuduhan Tokok Tambah Cerita Semasa Jadi Banduan

Ameng dituduh mereka cerita selama menjadi banduan. FOTO: AHMAD ZAMIR/THE STAR

VOKALIS Kumpulan Spring, Ameng berkata pengalamannya yang dikongsi ketika berada dalam penjara adalah kisah benar dan bukan sebuah cerita rekaan.

Menurut Ameng, 52, perkongsian tersebut berniat untuk menyedarkan masyarakat mengenai realiti kehidupan di sebalik tirai besi.

"Saya tak berbohong ketika berkongsi pengalaman berada dalam penjara. Malah, apa yang saya cerita mengenai hukuman sebatan sebanyak 10 kali tanpa sebarang bantuan perubatan adalah benar.

"Jujur saya mengakui kehidupan di penjara tidak seindah seperti digambarkan dan semuanya penuh kegelapan dan menakutkan.

"Buat apa saya hendak berbohong kerana saya pernah melalui pengalaman itu dan masyarakat di luar sana tak tahu kehidupan sebenar sebagai banduan," katanya kepada mStar Online.

Ameng ditemui semasa sidang media Showcase Kumpulan Spring di D'Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebahagian anggota Spring iaitu Zahar (dari kiri), Ameng dan Empy.

Penyanyi lagu Sampai Hati ini diminta mengulas dakwaan netizen yang mengatakan dia hanya menokok tambah cerita mengenai kehidupan sebagai banduan.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail dibebaskan dari penjara Kluang pada 14 Jun 2016 selepas lima tahun ditahan di penjara itu.

Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Ameng kini aktif menyampaikan ceramah berbentuk motivasi kepada pelajar dan masyarakat setempat di masjid.

Setelah hampir enam tahun meninggalkan pentas nyanyian, Ameng berkata dia tiada masalah untuk menjayakan persembahan berskala besar.

Ujarnya, dia masih boleh menyanyi dan belum pernah gagal membuat persembahan sepanjang bergelar penyanyi.

Anggota kumpulan Spring bersama wakil pihak penganjur.

"Saya masih boleh menyanyi dan sepanjang buat persembahan suara tak pernah pecah lagi. Malah, 28 tahun jadi penyanyi belum pernah dilempar telur.

"Alhamdulillah, selepas dibebaskan, peminat masih menyokong saya dan kumpulan ini. Doa mereka menjadikan saya lebih bersemangat," katanya.

Bercakap mengenai persembahan istimewa untuk peminat, Kumpulan Spring dijadualkan akan menjayakan Live Showcase  mereka di restoran D’Saji KL Titiwangsa pada 9 Mac ini bermula pukul 9 malam.

Harga tiket untuk konsert berkenaan dijual antara RM100 hingga RM300 dan boleh dibeli di kaunter pertanyaan D’Saji KL Titiwangsa.

Selain Ameng, kumpulan ini turut dianggotai oleh Is (gitar utama), Zahar (gitar kedua), Empy (bass) dan Acong (dram).

Ameng , Spring

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi