suria

Pertelingkahan Bantu Promosi XPDC

XPDC versi pertama yang dianggotai empat orang ahli. Dari kiri: Jeff, Amy, Zua dan Mael.

KUMPULAN rock XPDC mengakui konflik yang berlaku antara vokalis mereka, Mael dan bekas ahli mereka, Izo menyebabkan peminat berbalah antara satu sama lain.

Zua atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, 51, mewakili kumpulannya berkata perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana menganggap ia satu bentuk promosi.

"Memang menjadi masalah peminat bergaduh. Tapi bagi kami ia satu bisnes. Sebab mereka secara tidak langsung mempromosikan kami juga.

"Kami melihat perkara ini dari sudut positif sahaja," kata Zua kepada mStar Online.

XPDC ditemui ketika sidang media konsert Metal Legends Live In Concert di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Tambah Zua lagi, mempunyai dua kumpulan bernama XPDC tidak menjadi masalah kepada mana-mana pihak memandangkan penyanyi asal ada di dalam kumpulannya.

Dari kiri: Jeff, Amy dan Zua ketika di sidang media konsert XPDC dan Cromok.

"Tak jadi masalah sangat kepada mana-mana pihak termasuk pengajur sebab mereka tahu penyanyi sebenar ada di sini.

"Peminat boleh fikir yang pengasas dan penyanyi asal ada di dalam kumpulan ini.

"Kalau saya tak main dengan Mael, saya tak berani mengaku diri XPDC," ujarnya.

Terdahulu konflik berlaku apabila XPDC terpecah kepada dua kumpulan dan masing-masing pula mendakwa berhak menggunakan nama tersebut.

Selain Zua (bass), XPDC kini dianggotai oleh Mael selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Manakala pemain gitar asalnya Izo tampil dengan Ali (penyanyi), Eddie (bass), Arif (gitar) dan Lola (dram).

Dalam perkembangan lagi, buat pertama kali XPDC akan berkongsi pentas dengan kumpulan rock lagenda tempatan, Cromok menerusi konsert Metal Legends Live In Concert.


Pertama kali XPDC dan Cromok berkongsi pentas konsert yang berdurasi selama tiga jam.

Cromok yang dianggotai oleh Sam selaku pemain bes dan vokal, Karl (gitar) dan Miji (dram) menganggap konsert itu dapat mengubati kerinduan peminat terhadap muzik mereka.

“Dah lama kami tidak beraksi di konsert. Jadi, menerusi konsert ini, bukan kami sahaja yang dapat mengubati kerinduan untuk beraksi.

"Tetapi peminat juga dapat sama-sama mengenang kembali memori lama mereka bersama Cromok,” kata Karl.

Sementara itu, kumpulan XPDC yang sudah beraksi selama 28 tahun dalam industri seni tempatan sempat menyatakan keterujaan mereka untuk beraksi bersama dengan Cromok.

“Pastinya XPDC akan memberi persembahan terbaik untuk konsert ini. Kami sendiri tidak sabar untuk beraksi bersama-sama dengan Cromok,” kata Zuar.

konsert yang akan diadakan di Maeps, Serdang pada 3 Februari 2018 bermula pukul 8.30 malam itu turut menampilkan sistem bunyi yang cukup mantap dengan penggunaan sejumlah 64 Subbass.

Tiket sudah mula dijual di www.ilassoticket.com dengan harga bermula RM68 (trash zone), RM120 (hardcore zone) dan RM250 (vip & backstage zone).

Tiket-tiket juga dijual di XPDC Kita Peng Yu Shop (Uptown Kota Damansara) dan XPDC Bundle & Alteration Jeans (Kajang).

XPDC, Cromok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain