suria

Produksi Tak Suruh Afifah Pura-Pura Suka Aliff Aziz

Aliff Aziz (kiri) dan Afifah kini memulakan semula penggambaran.

SELEPAS sekian lama berdiam diri, akhirnya pihak produksi drama Izinkan Aku Mencintaimu, tampil menjelaskan mereka tidak pernah menyuruh Afifah Nasir berpura-pura menyukai Aliff Aziz. 

Pengarah drama itu, Mansor Akob berkata, pihaknya juga tidak pernah merancang perkara itu sehinggalah timbul isu Aliff Aziz dan Afifah ‘kantoi’ berdua-duaan di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin Cheras, pada 27 Julai lalu. 

“Ia hanya sekadar cakap kosong, pihak saya tidak pernah menyuruh Afifah membuat perancangan untuk menjalinkan hubungan rapat dengan Aliff sebagai mana didakwa,” katanya kepada mStar Online.

Ini Semua Produksi Punya Angkara - Afifah Nasir

Mansur atau dikenali sebagai Manchi ditemui di lokasi penggambaran drama itu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras di sini pada Khamis. 

Kelihatan Aliff Aziz berbaju putih, di sebuah lokasi penggambaran Izinkan Aku Mencintaimu.

Wartawan mula  berkumpul di lokasi berkenaan sejak pukul 10.30 pagi selepas mengetahui artis berkenaan akan meneruskan penggambaran sejak sekian lama tertangguh. 

Pada Isnin lalu, Afifah dalam sidang medianya mendakwa apa yang terjadi antaranya dengan Aliff itu adalah rancangan yang dirancang oleh pihak produksi. 

Dia diminta untuk berpura-pura menyukai Aliff atas usaha untuk memujuknya kerana pelakon itu menghadapi masalah disiplin dan kerap tidak hadir ke lokasi. 

Malah Afifah turut memperdengarkan rakaman perbualan kakaknya dengan pihak produksi berhubung perancangan itu.

Manchi berkata, dia juga tidak mengetahui kehadiran Aliff dan Afifah di pusat karaoke berkenaan sehinggalah berita aktor itu kantoi dengan isterinya dilaporkan pihak media. 

Dalam penggambaran drama pada Khamis, pasangan berkenaan hadir dan dapat menjiwai watak yang diberikan dengan baik. 

Afifah turut ditemani kekasihnya Wan Ariff dan pelakon Hafreez Adam manakala Aliff Aziz membawa dua orang pengawal peribadi.

Afifah Nasir, Aliff Aziz, Manchi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain