suria

Niat Enggan Sentuh Akhirnya Terpaksa Peluk - Ungku Ismail

Ungku Ismail sudah meminta kebenaran suami Nabila Huda untuk memeluk aktres itu dalam adegan aksi intim. FOTO: EBBY SAIFUL.

DEMI menjayakan watak dalam drama terbaharu Dendam Aurora, pelakon Ungku Ismail Aziz terpaksa melanggar prinsipnya tidak mahu bersentuhan dengan bukan mahram. 

Ungku Ismail, 32, berkata, pantang itu dilanggar apabila dia melakukan beberapa adegan peluk dan bersentuhan dengan aktres gandingannya Nabila Huda bagi menjayakan drama yang diadaptasi dari sebuah karya Itali itu.  

"Selama ini memang saya elakkan adegan peluk dan bersentuhan kerana bagi saya tidak perlu pun bersentuhan kerana memadailah sekadar menunjukkan kemesraan.  

"Tapi untuk drama Dendam Aurora ini berbeza kerana ia susah sedikit dan ketika mendapat skrip, saya tahu ia perlu adegan yang intim.

"Jadi terpaksa jugalah, jika tidak, jalan cerita akan lari daripada cerita asalnya. Tapi, apa yang dilakonkan itu ada batasannya dan sesuai untuk tontonan masyarakat negara ini," ujarnya kepada mStar Online. 

Ungku Ismail dan Nabila bergandigan dalam Dendam Aurora.

Bagaimanapun, pelakon yang popular dengan drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, dia akan terus mengekalkan prinsip tersebut untuk drama yang akan datang. 

Dalam pada itu, kata Ungku, dia juga sudah meminta izin daripada suami Nabila Huda untuk melakonkan babak berkenaan. 

"Saya sudah minta izin dengan suami Nabila, dia juga faham tugas kami sebagai pelakon," ujarnya. 

Sementara itu, bercakap tentang keserasian dengan Nabila, Ungku Ismail berkata, mereka tidak perlu menimbulkan rasa cinta bagi membawakan watak pasangan. 

"Keserasian dalam sesebuah drama adalah menerusi kerjasama dan bakat. Macam saya dan Nabila, kami sudah lama kenal dan mudah berbincang untuk melakonkan sesuatu adegan," ujarnya. 

Drama 100 episod ini diadaptasi daripada telenovela Tuscan Passion ini diarahkan oleh Feroz Kader dan Riza Baharudin. 

Ia turut dilakonkan oleh barisan artis seperti Anzalna Nasir, Shah Iskandar, Datuk Eizlan Yusof, Fezrul Khan dan Dian P  Ramlee. 

Dendam Aurora akan mula bersiaran pada Isnin hingga Jumaat bermula 25 Julai ini pada pukul 6 petang di Astro Prima dan Maya HD. 

Ungku Ismail

Artikel Lain