suria

Buat ‘Spot Check’ Suami? Mia Ahmad Buka Mulut!

Mia Ahmad akhirnya membuka mulut kisah dia buat 'spot check' suaminya, penjaga gol pasukan JDT, Mohd. Izham Tarmizi.

ORANG sedang bahagia, macam-macam pula cerita yang timbul!

Akhirnya pelakon Mia Ahmad akhirnya membuka mulut bagi menjelaskan kisah kononnya dia bersikap cemburu dan sanggup membuat pemeriksaan mengejut atau spot check terhadap suaminya Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Mia, 29, berkata, tuduhan tersebut tidak benar dan berunsur fitnah dengan niat menarik pembaca sebuah blog.

"Cerita mengatakan saya spot check suami itu sama sekali tidak betul, mana ada saya spot check suami, mereka manipulasi cerita sebenar.

"Mereka hanya tokok tambah kenyataan saya dalam sebuah berita," ujarnya kepada mStar Online.

Mia diminta mengulas laporan sebuah blog hiburan yang mendakwa dia sering membuat 'kunjungan mengejut' terhadap suaminya yang menetap di Johor Bahru iaitu penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Romantiknya Mia Ahmad dan Izham... Bila agaknya nak dapat baby yer? Jangan marah gurau aje! Foto: Instagram Mia Ahmad.

Mia atau nama sebenar Shamiha Ahmad Baderi dan Izham, 26, berkahwin pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak.

Blog hiburan itu dikatakan telah memanipulasi berita daripada sebuah akhbar yang menulis bahawa aktres Hati Perempuan itu tinggal berasingan kerana sedang menjalani penggambaran drama.

Bagaimanapun, Mia berkata, dia bersyukur perkara itu tidak sampai menjejaskan hubungannya dengan suami.

"Ia tidak menjejaskan hubungan saya dengan suami kerana Izham tahu saya macam mana, dia tahu saya tidak akan kongsi kisah peribadi dengan orang lebih-lebih lagi jika benda yang tidak pernah terjadi," katanya.

Dalam pada itu, Mia berkata, dia kini sudah pulang ke Johor Bahru selepas tamat penggambaran sebuah drama terbitan TV3 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

"Baru-baru ini sahaja saya berjauhan dengan suami kerana ada penggambaran drama bersiri, suami pula sibuk dengan latihan dan perlawanan bola. Tapi sekarang sudah habis penggambaran, saya sudah balik Johor semula," ujarnya.

Mia turut memohon agar netizen tidak cepat berkongsi cerita yang tidak betul terutama daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Katanya, perkara itu hanya memburukkan keadaan dan membuatkan seseorang menjadi sedih.

"Saya tahu mereka mahu lariskan cerita tapi perlu pastikan ia cerita yang betul. Janganlah tokok tambah cerita kerana perkara itu hanya membuatkan seseorang menjadi murung dan sedih," ujarnya.

Mia Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Lain