suria

“Nak Jadi Artis Pun Susah” – Hunny Madu

Hunny Madu berulang alik ke Amerika Syarikat untuk mempromosikan lagu terbarunya.

PENGACARA dan penyanyi Hunny Madu sudah mempunyai rancangan untuk melebarkan bakat nyanyiannya ke peringkat antarabangsa.

Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 33, berkata dia sanggup berulang-alik ke luar negara demi mencipta nama.

"Saya ada merancang untuk melebarkan lagi karier nyanyian ke luar negara. Tambahan pula sekarang saya ada lagu duet dengan penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Radio 3000.

"Ini adalah salah satu peluang yang tidak boleh saya lepaskan. Mana tahu, selepas ini saya boleh menetap di negara tersebut.

"Bagaimanapun, tengok pada keadaan juga kalau boleh mencari rezeki menampung keluarga dekat sana, apa salahnya. Tapi bila banyak kali fikir, sayang pula nak tinggalkan Malaysia.

"Buat masa sekarang ini saya hanya ulang-alik sahaja untuk promosikan lagu tersebut," kata Hunny Madu.

Buat pertama kali Hunny Madu berduet dengan penyanyi luar negara, Radio 3000. 

Dalam pada itu, Hunny akui bukan mudah mencari rezeki dalam industri muzik. Ramai yang beranggapan menjadi selebriti mampu untuk hidup mewah tanpa perlu bersusah-payah.

"Masyarakat luar selalu fikir bila jadi artis ini boleh hidup mewah dengan senang. Tak perlu nak fikir kesusahan hidup. Tapi sebenarnya kami sama juga seperti orang lain.

"Bangun awal pagi dan pulang lewat malam untuk mencari rezeki. Mungkin mereka tidak nampak macam mana artis juga susah mencari rezeki.

"Lagu terbaru saya ini pun mengisahkan bukan mudah untuk kita dapatkan duit. Perlu ada usaha dan jangan putus asa," ujarnya.

Terdahulu Hunny Madu sanggup meninggalkan karier sebagai penyampai radio tiga tahun lalu semata-mata ingin mengejar impiannya menjadi seorang penyanyi.

Hunny Madu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain