suria

Che Mokh Disebalik Kejayaan Siti Sarah & Spider

Siti Sarah

NAMA Mokhtaza Ahmad bukan nama asing dalam industri muzik tempatan, biarpun memulakan kerjaya awalnya sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah, minat yang mendalam dalam bidang muzik tidak pernah terhakis.

Mohktaza atau lebih dikenali sebagai Che Mokh kemudiannya meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai seorang pensyarah muzik di sebuah kolej pada tahun 1988.

Pada ketika itu, dia juga diberi peluang untuk menceburi industri muzik menerusi program latihan industri di syarikat rakaman BMG Music.

"Saya sudah selesa dengan kerjaya saya dalam bidang pendidikan, namun kecintaan saya terhadap bidang muzik sangat mendalam. Saya mahu terlibat dengan lebih dekat lagi dalam industri muzik ini," ujarnya.

Kumpulan Spider

Dia akhirnya membuat keputusan berhenti sebagai pensyarah dan bekerja di BMG Music pada tahun 1995.

Selepas tiga tahun, Che Mokh meninggalkan BMG Music dan berpindah ke syarikat rakaman tempatan NAR Record dengan jawatan sebagai Artists and repertoire (A&R).

Che Mokh bertanggungjawab terhadap album pertama penyanyi Siti Sarah Raissuddin berjudul Sarah. Album tersebut memenangi Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003.

Dia juga antara individu yang bertanggungjawab mengangkat nama kumpulan Exists dan Spider pada awal tahun 2000.

"Spider pada awalnya dengan syarikat rakaman lain, namun mereka gagal menyerlah. Kumpulan ini akhirnya meraih populariti menerusi lagu Aladin dan saya nampak jalan mereka untuk berjaya. Saya percaya bahawa saya boleh buat mereka popular dan besar," ujarnya.

Che Mokh merupakan bekas guru dan pensyarah.

1. Apa tanggungjawab pengurus artis atau A&R?

Tanggungjawab A&R adalah mencungkil bakat baharu yang akan berada di bawah syarikat rakaman mereka bekerja.

Pelbagai cara mencari bakat baharu seperti pertandingan nyanyian dan kami boleh menilai suara mereka sama ada layak atau tidak menjadi penyanyi.

Pada tahun 1990, kami mencari bakat dari bandar hingga ke kampung-kampung pedalaman.

Sebelum mengambil mereka sebagai artis, kami juga perlu memastikan bahan dan lagu daripada komposer yang sesuai dinyanyikan mengikut suara mereka.

2.Boleh beri contoh artis yang pernah mendapat khidmat anda dan bagaimana proses berlaku.

Anda tidak boleh hanya mengambil mereka sebagai penyanyi tanpa memberi latihan dan asas untuk mereka berkomunikasi dengan peminat.

Penyanyi pertama saya ialah vokalis Exists iaitu Mamat, selepas Mamat keluar, kami gantikan dengan Ezad.

Dia seorang yang pemalu. Kami banyak mengajar dia bagaimana untuk berinteraksi dengan penonton dan cara menyampaikan lagu tersebut di depan khalayak.

3. Adakah sosial media telah mengubah peranan A&R?

Sosial media merupakan salah satu cara kami untuk mencari bakat baharu. Kita hanya perlu klik sahaja dan pantau. Cara lama seperti pertandingan sudah tidak lagi dilakukan kerana memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Cara mencari di laman-laman sosial lebih mudah dan senang. Kami juga menemui beberapa bakat baharu menerusi aplikasi Smule dan Facebook.

4.Kenapa syarikat rakaman masih penting sedangkan penyanyi sudah boleh melancarkan lagu-lagu mereka di laman-laman sosial?

Anda boleh mendapatkan ramai pengikut tetapi anda masih perlu bekerja dengan syarikat rakaman untuk berjaya dan pergi lebih jauh.

Sebagai contoh, anda boleh mulakan dengan syarikat muzik anda sendiri dan kemudian bekerjasama dengan syarikat rakaman lain.

5. Apa pandangan pertama anda terhadap Elly Mazlein, Faradhiya dan Siti Sarah?

Elly mempunyai kelembutan sendiri dan saya ingat ketika itu suara dia seperti Siti Nurhaliza.

Faradhiya pula datang ke pejabat kami tanpa sebarang temujanji, penyambut tetamu menghubungi saya beritahu ada wanita cantik ingin berjumpa. Saya dengar suara dia dan tahu dia mempunyai potensi.

Saya nampak bakat Siti Sarah di beberapa pertandingan nyanyian, dia sangat bagus. Saya jumpa bapa dia dan berbincang tentang kerjayanya sebagai penyanyi.

Dia baharu berusia 17 tahun dan ketika itu saya minta dia habiskan pengajian terlebih dahulu.

Che Mokh, Siti Sarah, Spider

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain