suria

Black Sangkal Bersikap Biadap Terhadap Hattan

Black menegaskan dia tidak pernah bersikap biadap terhadap penyanyi Datuk Hattan menerusi program Mentor Milenia 2017

KUALA LUMPUR: Penyanyi Black menegaskan dia tidak pernah bersikap biadap terhadap penyanyi Datuk Hattan dalam program Mentor Milenia 2017 seperti yang kecoh diperkatakan di YouTube, minggu ini.

Sebaliknya, Black berkata, cemuhan dan kutukan sebahagian besar penonton program realiti itu terhadap dirinya timbul kerana mereka salah faham dengan keadaan yang sebenar.

Jelasnya'pergeseran' tercetus antara dirinya selaku salah seorang mentor dengan Hattan yang bertindak sebagai juri tetap sejak Mentor Milenia 2017 bersiaran dua minggu lalu adalah berlandaskan profesionalisme semata-mata.

"Saya tak rasa saya biadap atau beliau mengguris hati saya dengan kata-katanya.

"Saya mempertahankan protege dan beliau (Hattan) menjalankan tugasnya untuk mengkritik sebarang kekurangan para peserta.

"Perbalahan yang dilihat dalam program itu memang berlaku tapi ia adalah demi kerja dan tanggungjawab kami semata-mata.

"Tiada masalah pun antara kami tapi keadaan itu disalah anggap oleh penonton," katanya kepada mStar Online.

Black atau Hanifah Md Hanafiah, 30, dikecam dengan teruk di ruangan komen YouTube apabila petikan rakaman video Episod 1 dan 2 program itu yang dimuat naik minggu ini disalah anggap sebagai bersikap kurang ajar apabila menyelar dan bertengkar dengan Hattan secara langsung ketika ia bersiaran.

Datuk Hattan.

Selain Black, Mentor Milenia musim ini masih mengekalkan Akim, Hazama dan Tomok sebagai mentor manakala Hattan selaku juri tetap.

Mentor Milenia 2017 disiarkan secara langsung pada setiap Ahad jam 9 malam di TV3 sehingga April nanti.

Black berkata, di sebalik 'pergeseran' yang dilihat secara umum itu, mereka berdua tidak mempunyai masalah di luar.

"Saya boleh katakan kami tidak bergaduh atau bermasam muka. Bila di luar program, kami okey saja.

"Ia bukan gimik pula sebab memang kami berbalah cuma tiada apa yang peribadi selain hal kerja.

"Malah, Datuk Hattan sendiri yang meminta saya dan rakan-rakan mentor lain untuk berdebat pendapat dengannya pada setiap komen dan kritikan yang dikeluarkannya.

"Sebab beliau sendiri akui tidak semestinya semua pandangannya sentiasa tepat. Dilemanya kepada kami berempat adalah untuk 'bertengkar' dengan beliau sebab bila saya lantang sikit jadi hal begini pula," katanya.

Susulan itu, Black mengakui penjelasan mengenai salah faham itu akan dipaparkan secara langsung pada episod malam ini.

"Saya dan tiga lagi mentor sudah berbincang mengenai hal ini. Walaupun saya tidak berniat biadap atau berkasar namun pandangan umum harus diambil kira juga.

"Kami akan berdebat atau bertengkar seperti biasa dengan Datuk Hattan jika ada perselisihan pendapat tapi caranya akan lebih berhemah dan sopan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Black kini mempromosikan single duet terbaharunya bersama Tomok yang berjudul Rempuh.

Katanya, lagu berkenaan bakal dimuatkan dalam album duet mereka yang dijangka dikeluarkan tahun depan.

Black, Hattan, Mentor Melenia 2017

Artikel Lain