suria

Herman Tino Enggan ‘Tersungkur’ Untuk Jadi Wakil Rakyat

Herman Tino tidak berminat untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang.
PETALING JAYA: Penyanyi era 1980-an, Herman Tino tidak berhasrat untuk kembali bertanding di Parlimen Tanjung Karang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Herman berkata, dia sedar akan mengalami kekalahan teruk dan enggan lagi 'tersungkur' seperti mana yang berlaku sebelum ini.

"Saya sudah tidak berminat untuk menjadi ahli politik dan ingin meneruskan karier dalam bidang nyanyian sahaja.

"Tambahan pula kalau saya bertanding sekali lagi saya tahu akan kalah teruk seperti sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Herman atau Marsun Tamsi, 63, bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Tanjung Karang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Beliau bertanding menentang Tan Sri Noh Omar dari Barisan Nasional dan wakil PAS, Mohamad Rashdi Deraman.

Noh memenangi kerusi itu dengan 20,548 undi menewaskan Mohamad Rashdi dengan majoriti 4,394 undi.

Bagaimanapun Herman yang hanya mendapat 340 undi hilang wang pertaruhan.

Herman Tino menyerahkan borang permohonan untuk kembali menyertai Umno kepada Noh pada Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Herman berkata, sebelum ini dia bertanding kerana kecewa dengan senario politik yang dilihat terumbang-ambing sehingga tergerak untuk mencalonkan diri sendiri.

"Pada pilihan raya lalu saya kecewa apabila melihat senario politik yang memperlihatkan sebuah kapal mempunyai dua nakhoda.

"Jiwa saya memberontak ketika itu kerana terlalu kecewa dan mengambil keputusan untuk bertanding.

"Tetapi saya tidak akan kembali bertanding kerana saya sudah tidak berhasrat aktif dalam politik dan ingin menyanyi sahaja," katanya.

Bagaimanapun Herman berkata, dia tidak menolak untuk membantu kempen selain menjadi pemerhati dari jauh pada pilihan raya akan datang.

Pada Julai tahun lalu, Herman yang dipecat daripada Umno tiga tahun lalu mengemukakan permohonan untuk kembali menyertai parti itu dan menyerah sendiri borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar.

Sementara itu, Herman berkata, dia bersyukur kerana masih menerima undangan nyanyian walaupun banyak persaingan daripada penyanyi-penyanyi baharu.

Kata Herman, dia tidak pernah berhasrat untuk bersara sebaliknya akan terus menyanyi kerana itu adalah minatnya.

"Asal dapat menyanyi saya sudah cukup gembira kerana bidang ini adalah minat dan mata pencarian saya.

"Alhamdulillah undangan nyanyian masih banyak malah saya akan ke Sarawak untuk mengadakan persembahan dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Herman Tino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain