suria

Sahri (AF1) 'Hilang' Kerana Cerewet Pilih Lagu

Sahri AF1 bakal keluar single berjudul Terlambat.

PETALING JAYA: Akibat terlalu cerewet dalam pemilihan lagu, penyanyi Sahri akhirnya menyedari sikapnya itu menjadi punca dia 'hilang' daripada industri hiburan sejak sekian lama.

Artis kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini berkata, dia pernah menolak beberapa karya yang dianggapnya tidak berkualiti dan kurang sesuai untuk bersaing dalam pasaran tempatan.

"Orang mungkin akan kata saya demanding dan perasan bagus tetapi hakikatnya saya memang seorang yang cerewet kerana mahukan karya yang berkualiti apatah lagi saya sendiri mempunyai latar belakang pendidikan muzik.

"Justeru, saya rela terbitkan single sendiri menggunakan bajet dan kepakaran yang ada daripada terus berharap kepada pihak-pihak tertentu yang hanya tahu menjual karya berkualiti rendah," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Sahri atau nama sebenarnya Sahri Sarip, 37, kini tampil dengan lagu baharu berjudul Terlambat yang diciptanya sendiri sebagai buah tangan kepada peminat dalam usaha membuat kemunculan semula selepas 14 tahun menyepi.

"Biarpun kos penerbitan menggunakan duit dan kepakaran sendiri, saya tidak kisah asalkan hasilnya kena dengan citarasa dan memberi kepuasan kepada saya," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Sahri lagi dia masih aktif menyanyi di persembahan tertutup biarpun jarang dilihat di teleivisyen dan kurang mendapat liputan media.

"Saya tidak pernah berkecil hati dengan pihak media apalagi ada di antara mereka adalah sahabat lama saya.

"Lagi pula saya sedar tanpa sebarang produk, apa yang boleh mereka bantu selain terus memberi sokongan moral, bagi saya itu sudah mencukupi.

Tambah Sahri, dalam usaha menjaga hubungan bersama peminat, dia menjadikan laman Instagram sebagai medium terbaik untuk berkongsi segala perkembangan seninya.

"InsyaAllah selepas lagu Terlambat diperkenalkan, saya ada tiga lagi single dalam simpanan yang akan menyusul selepas itu termasuk sebuah lagu duet," ujarnya yang mahu berahsia mengenai identiti pasangannya itu.

Sahri sebelum ini pernah mendapat pendidikan di Universiti Lim Kok Wing dalam jurusan muzik sebelum bekerja secara sambilan di belakang tabir bersama produksi Astro sejak 2011 sehingga kini.

Sahri AF1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain