suria

Nad Zainal Kembali Berlakon Selepas Tujuh Bulan Berehat

Nad Zainal seronok berlakon watak berat.

PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal memberitahu dia sudah kembali berlakon selepas berehat kira-kira tujuh bulan kerana melahirkan anak pertamanya, Fahad Ibrahim Muhammad Faliq yang kini berusia tiga bulan.

Bagaimanapun, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, berkata, dia hanya akan mengambil tawaran yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

"Saya sudah kembali ambil tawaran dan bakal masuk ke set penggambaran untuk beberapa telefilem berjudul Menanti Kiamat Tiba, Dosa Perempuan dan Jernih Suraya untuk TV3 tidak lama lagi.

"Sekarang saya sudah ada tanggungjawab sebagai ibu, jadi susah untuk saya terima tawaran luar Kuala Lumpur kerana saya sering risau tentang anak saya. Buat masa ini ibu mertua yang jaga," ujarnya kepada mStar Online.

Nad ditemui pada majlis pratonton filem terbaharunya berjudul Aku Haus Darahmu yang berlangsung di Cathay Cineplax, malam Selasa lalu.

Pelakon itu melahirkan cahaya mata lelaki seberat 2.09 kilogram kira-kira puku 11.38 malam pada 14 Oktober 2016 di sebuah pusat perubatan.

Nad berkahwin dengan Muhammad Faliq Amirudin, 28, pada 18 Disember 2016.

Nad Zainal.
Sementara itu, Nad berkata, dia tidak meletakkan syarat sebaliknya berbincang dengan pihak produksi jika melibatkan penggambaran di luar.

"Siapa saya untuk letak syarat, tapi saya akan bertanya dahulu tentang lokasi penggambaran dan saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi dengan masalah peribadi saya.

"Jika ia menyusahkan lebih baik saya beri peluang kepada pelakon-pelakon lain sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Nad berkata, dia kini lebih memberi keutamaan kepada watak-watak berat berbanding komedi.

Katanya, membawa watak berat memberi lebih kepuasan kepadanya sebagai seorang anak seni.

"Saya memang suka watak-watak mencabar dan berat kerana ia lebih membuatkan saya puas. Bagilah apa sahaja watak yang berat saya akan buat yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang filem terbaharunya Aku Haus Darahmu, Nad berkata, dia seronok dapat berlakon dengan pelakon Deanna Yusof.

Cabaran utama dalam melakonkan watak Lia ialah memberi ekspresi dirasuk kerana tidak pernah mempunyai pengalaman berkenaan.

"Saya bertuah dapat berlakon dengan aktres Deanna Yuosf yang mana saya jadi jatuh cinta dengan karakter dia. Dia juga membuang persepsi saya terhadap pelakon berwajah Pan Asian.

"Dalam filem ini babak paling mencabar ialah memberi wajah di rasuk kerana saya tidak tahu nak buat air muka begitu," ujarnya.

Filem arahan Aidilfitri Mohd Yunos ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 2 Februari depan.
Nad Zainal

Artikel Lain