suria

Rozita Che Wan Kongsi Kehidupan Peribadi Dalam 'The House'

Bintang 'The House'. Dari kiri; Ammar Effendy, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Aniq Ezzra dan Aaisyah Dhia Rana. Foto AIMAN ARIFUDDIN

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan bakal mendedahkan kehidupan sehariannya secara eksklusif menerusi program realiti The House yang bakal ditayangkan bermula 25 Januari ini.

Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta, 44, berkata, menerusi program berkenaan penonton dapat melihat bagaimana dia dan keluarga menjalani kehidupan seharian yang sering mendapat perhatian.

"Sebenarnya sudah dua kali saya tolak atas sebab tertentu terutamanya jadual yang tidak mengizinkan. Kali ini saya terima kerana syarat-syaratnya.

Antara penggambaran dalam 'The House.'
"Saya tidak kisah orang nak cakap saya jual kisah peribadi kerana sekurang-kurangnya apa yang saya dedahkan di televisyen adalah setimpal berbanding mendedahkannya di laman sosial secara percuma," ujarnya kepada mStar Online.

Rozita ditemui pada sidang media program The House yang diadakan di Dudda, Suria KLCC, pada Rabu.

Rancangan yang memasuki musim ketiga ini akan disiarkan di Astro Ria, setiap Rabu, pukul 9.30 malam bermula 25 Januari ini.

Menerusi program ini, Rozita berkata, cabaran utama adalah menguruskan kehidupan tanpa bantuan pembantu peribadi.

Selain itu, katanya, pelbagai cabaran yang diberikan oleh pihak produksi yang menguji kemampuan dia dan anak-anaknya.

Che Ta bersama keluarganya pada majlis pelancaran program The House.

"Kami diletakkan di sebuah rumah selama kira-kira lapan hari dan diberi pelbagai tugasan. Ia juga mencabar bagi saya kerana tiada pembantu peribadi dan jurusolek.

"Penonton juga dapat melihat wajah saya tanpa solekan tebal seperti selalunya," ujarnya.

Selain Che ta dan suaminya Zain Saidin, turut terlibat dalam rancangan itu ialah anak-anaknya iaitu Ammar Effendy, 21, Aniq Ezzra, 19, dan Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia dua tahun.

Che Ta, Rozita Che Wan, Zain Saidin

Artikel Lain