suria

Hantar Segera Puisi Rohingya, Artis Popular Sedia Bacakan

PETALING JAYA: Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) masih membuka peluang kepada orang ramai menghantar puisi untuk dibacakan oleh artis dan selebriti tempatan dalam program amal Doa Untukmu Rohingya pada 1 Januari 2017.

Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, acara amal yang akan diadakan di Laman Santai, Istana Budaya itu bakal mencatat sejarah tersendiri kerana para artis yang diundang akan membaca 100 puisi terpilih ciptaan orang ramai bertemakan keamanan dan kesejahteraan.

“Pihak kami masih membuka peluang kepada orang ramai yang berbakat dalam penulisan puisi untuk menghantar karya mereka yang asli secepat mungkin untuk dipilih dan akan diagih-agihkan kepada artis-artis tertentu bagi menjayakan projek amal ini,” katanya kepada mStar Online.

Erra Fazira antara artis yang sudah mengesahkan mengambil bahagian dalam kerja amal ini.

Katanya, puisi yang dihantar hendaklah tidak lebih 100 patah perkataan dan tidak diplagiat daripada mana-mana karya seni lain.

Puisi-puisi berkenaan boleh dihantar ke e-mel WHAM iaitu [email protected] atau ke akaun Facebook iaitu www.facebook.com/wartawanhiburanfanpage

Dijangka lebih 1,000 artis termasuklah karyawan seni, budayawan, pemuzik, pelakon dan penyanyi akan terlihat dalam Doa Untukmu Rohingya ini yang akan berlangsung selama 10 jam bermula 2 petang.

Ia bertujuan memupuk sikap kebersamaan dalam mengenang nasib masyarakat Rohingya yang diperlakukan dengan kejam oleh tentera Myanmar.

Antara artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka dan sedang menanti puisi ciptaan peminat ialah Datuk Hattan, Erra Fazira, Azharina, Datuk Jamal Abdillah, Johan As’ari, Datuk Rosyam Nor,  Tasha Shilla dan Zarul Husin.

Artis lain yang akan turut serta ialah Mia Ahmad, Zaiton Sameon, Aizat Amdan, penyampai berita Saiful Nizam Ismail, Deejay Lin dan Nabil Ahmad.

Puisi yang dihantar hendaklah turut menyediakan nama, alamat dan nombor telefon penulis dan perlu dikirimkan sebelum Sabtu ini.

WHAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain