suria

"Penganjur Beri Masa Saya Cakap Panjang" - Sheila Majid

Sheila Majid

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Sheila Majid berkata beliau diberi masa oleh pihak penganjur untuk bercakap panjang dalam Anugerah Industri Muzik ke 22 (AIM22) Ahad lalu bagi berkongsi pengalaman sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Sheila atau Shaheila Abdul Majid, 51, berkata, perkara tersebut berikutan pengiktirafan tertinggi yang diberikan untuknya sebagai penerima Anugerah Sri Wirama pada AIM22.

"Saya diberi masa oleh pihak penganjur untuk bercakap apa sahaja yang saya mahu dan mereka minta saya berkongsi apa yang saya lalui sepanjang berada dalam industri.

"Selain itu saya juga mengambil peluang tersebut untuk memberi pesanan bukan sahaja kepada artis-artis, malah kepada peminat-peminat industri muzik tempatan.

Shiela Majid berkongsi pengalaman selama lebih 30 tahun dalam industri.
"Ia seperti kita ingin beli sebuah rumah, kita perlu tanya kepada arkitek bukan bertanya pada orang ramai," ujarnya pada sidang media AIM22, malam Ahad lalu.

Shiela berkata demikian selepas ditanya tentang ucapannya yang panjang dengan membaca teks hampir lima minit selepas menerima anugerah Sri Wirama pada AIM22 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Sheila berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan yang paling bermakna kerana dipilih bukan berdasarkan populariti sebaliknya daripada pihak yang arif dalam industri.

"Anugerah ini sangat bermakna bagi saya kerana ia bukan anugerah tentang populariti tetapi pengiktirafan daripada pihak-pihak yang profesional dalam industri.

"Saya juga bersyukur dapat bertahan dan buat apa yang saya suka dalam kerjaya seni sehingga kini," ujarnya.

Dalam pada itu, sekali lagi, Sheila menegaskan seperti dalam ucapan, dia mengingatkan agar peminat memperuntukan wang untuk artis tempatan bagi mendapatkan persembahan berkualiti.

Katanya, terlalu banyak konsert yang dianjurkan secara percuma hanya akan merosakkan industri muzik tempatan yang semakin parah.

"Peminat perlu keluarkan duit untuk menonton persembahan artis yang mereka sayangi dengan kualiti yang bagus," ujarnya.

Selain itu, beliau kecewa terlalu banyak program-program televisyen yang mencampurkan adukkan antara nyanyian dan program lawak semata-mata untuk mengejar rating.

Katanya, perkara itu, bukan sesuatu yang sihat untuk industri muzik tempatan.

"Sukar untuk mencari kualiti jika program-program pertandingan dan nyanyian dicampurkan dengan hiburan lain. Mereka terlalu memikirkan tentang rating sebaliknya tidak pada kualiti yang diperolehi," ujarnya.

Dia turut meminta media memberi liputan terbaik untuk artis-artis yang betul-betul layak agar lebih ramai artis tempatan mengejar kualiti daripada populariti.
Sheila Majid

Artikel Lain