suria

Astro Tidak Sekat Maya Ruslee Sertai 'Gegar Vaganza' Tahun Depan

Maya Ruslee mahu pihak berkenaan membetulkan kelemahan agar masalah sama tidak berulang.

PETALING JAYA: Tiada sekatan untuk penyanyi Maya Ruslee menyertai Gegar Vaganza (GV) musim keempat walaupun dia tidak terpilih pada kali ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, penyanyi itu bagaimanapun perlu menghadiri sesi uji bakat kerana ia sebahagian daripada peraturan sebelum dipilih menyertai rancangan itu.

Raqim Ahmad.

“Mungkin tahun hadapan kita akan panggil Maya untuk sertai Gegar Vaganza tetapi dia kenalah datang uji bakat seperti biasa sebelum pemilihan dibuat,” katanya kepada mStar Online.

Raqim diminta mengulas adakah kemungkinan Maya dilarang menyertai Gegar Vaganza pada masa hadapan selepas dia meluahkan rasa terkilan terhadap pihak produksi rancangan itu semasa uji bakat dilakukan.

Maya dikatakan sudah dua kali dipanggil ke sesi berkenaan iaitu untuk pertandingan musim kedua dan ketiga serta diminta menyertai beberapa program lain namun pihak produksi membatalkannya pada saat-saat akhir.

Kata Raqim, hal berkenaan sepatutnya tidak dijadikan isu kerana keputusan dibuat oleh pihak produksi selepas mereka memilih calon terbaik pada sesi uji bakat.

Malah katanya, penyertaan dalam GV mempunyai kuota tertentu dan peserta kali ini sudah memenuhi proses itu.

“Astro tidak pernah ada isu dengan mana-mana artis dan kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 40, pula berkata, dia sekadar mahu pihak berkenaan membetulkan kelemahan agar masalah sama tidak berulang.

Ujar Maya, dia tidak kecil hati tidak dipilih menyertai program itu namun mereka seharusnya memaklumkan kepada peserta yang gagal agar mereka tidak tertanya-tanya sama ada layak atau tidak menyertai pertandingan berkenaan kerana komitmen kerja lain.

“Gegar Vaganza ialah platform terbaik untuk artis-artis lama yang jarang diberi ruang muncul di televisyen dan tentunya ia menjadi harapan bagi mereka yang masih aktif untuk menyertai pertandingan berkenaan,” katanya.

Ditanya adakan dia enggan menyertai Gegar Vaganza selepas dua kali gagal kata Maya, kalau ikutkan hati dia ada sedikit serik namun akan memikirkannya jika mendapat tawaran yang sama pada masa hadapan.

Maya Ruslee

Artikel Lain