suria

FFM28: Ghaz Abu Bakar Lebih Memilih Selepas Kejayaan 'Polis Evo'

Ghaz Abu Bakar lebih teliti dalam memilih sesebuah karya atau naskhah filem yang akan diarahkan selepas kejayaan filem Polis Evo menerima kutipan sebanyak RM11.4 juta.

PETALING JAYA: Pengarah filem Ghaz Abu Bakar berkata, dia kini lebih teliti dalam memilih sesebuah karya atau naskhah filem yang akan diarahkan selepas kejayaan filem Polis Evo menerima kutipan sebanyak RM11.4 juta.

Ghaz atau nama sebenarnya, Mohd Ghazali Abu Bakar, 42, berkata, dia tidak mahu sekadar 'tangkap muat' dalam menerima sebarang tawaran yang boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai pengarah filem box office.

"Sudah tentu agak tertekan dengan jangkaan masyarakat yang lebih tinggi terhadap filem akan datangs elepas kejayaan Polis Evo ini.

"Sebab itu saya lebih berhati-hati dan teliti, tidak boleh tangkap muat sahaja. Selalunya saya akan pastikan siapa penerbit dan cara pemasaran filem berkenaan betul atau tidak," ujarnya.

Tambah pengarah video muzik lagu Terima Kasih nyanyian Kaka Azraf ini juga, dia sentiasa memastikan setiap filem atau muzik video yang dihasilkan mencapai kualiti setaraf antarabangsa.

Ghaz ditemui pada sesi fotografi lima calon terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), baru-baru ini.

Polis Evo lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam

Filem Polis Evo berjaya dicalonkan dalam sembilan kategori di FFM28 menerusi Anugerah Filem Terbaik Nasional, Anugerah Filem Terbaik Malaysia, Anugerah Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Selain itu, ia turut tercalon menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Senimortografi Terbaik dan Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Pereka Kostum Terbaik.

Sementara itu, mengulas tentang keyakinan untuk menang, Ghaz berkata, dia tidak meletakkan harapn yang tinggi berikutan genre aksi komedi yang ditampilkan dalam filem berkenaan jarang mendapat tempat untuk pertandingan.

"Saya harap ada yang menang tapi untuk menang kategori Filem Terbaik itu agak susah kerana kebiasaan filem yang mempunyai mesej berat selalu mendapat perhatian berbanding komedi.

"Tapi susah nak cakap juga kerana penilaian juri adalah subjektif," ujarnya.

Bagaimanapun, Ghaz berkata, biarpun genre komedi sukar mendapat tempat dalam pertandingan, dia berharap genre tersebut dihasilkan dengan baik dan berkualiti.

Katanya, kebanyakan pengarah dan penerbit tidak mengambil serius dalam menerbitkan filem-filem genre tersebut sehingga menyebabkan ia tidak berkualiti.

"Kalau boleh saya nak buang pemikiran tentang filem komedi yang tidak serisu dan menghasilkannya seperti melepaskan batuk di tangga.

"Filem komedi itu perlu ada maksud, tujuan dan mempunyai bahasa filem tersendiri, baharulah ia mendapat sambutan," ujarnya.

Ghaz Abu Bakar

Artikel Berikut

Artikel Lain