suria

Pengasingan Filem Bukan Bahasa Malaysia Bersifat Sementara - Kamil Othman

Semua calon bergambar pada sidang media pengumuman calon lima terbaik Festival Filem Malaysia ke-28. Foto AZHAR ARIF
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menyifatkan keputusan mengasingkan filem terbitan tempatan bukan berbahasa Malaysia dalam kategori utama pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM 28) adalah bersifat sementara.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman berkata, buat masa ini ia adalah langkah terbaik dalam memastikan semua karya dari pelbagai bahasa dapat dipertandingkan pada festival berkenaan.

"Finas sentiasa berusaha dalam menitikberatkan kepelbagaian yang ada pada industri perfileman negara dan pengasingan itu dibuat bagi memastikan semua filem dapat dipertandingkan pada festival berkenaan.

Kamil Othman.
"Pun begitu, pada pandangan peribadi saya, mekanisme itu adalah bersifat sementara kerana ia adalah satu bentuk peralihan sebelum tiada lagi pengasingan menerusi kategori pada masa hadapan.

"Ini juga sebahagian daripada perancangan kerajaan dalam memastikan kita bergerak ke hadapan sebagai satu di mana kualiti penerbitan filem tempatan akan diiktiraf tanpa pengasingan mengikut bahasa," katanya kepada mStar Online.

Kamil ditemui pada majlis pengumuman finalis lima terbaik FFM 28 yang diadakan di Platinum Sentral di sini, Rabu lalu.

Pada acara itu, filem arahan Chiu Keng Guan iaitu Ola Bola mendahului senarai apabila menerima 14 pencalonan diikuti Polis Evo dengan 10 pencalonan manakala Munafik, Jagat dan The Kid From The Big Apple maisng-masing mendapat sembilan pencalonan.

Filem pertama arahan pelakon Pekin Ibrahim iaitu Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit pula menerima lapan pencalonan.

Pihak Finas mula menerima kritikan selepas Ola Bola, Jagat dan The Kid From The Big Apple tidak dipertandingakan menerusi kateori utama FFM 28 termasuk Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sebaliknya, naskhah berkenaan bakal berentap menerusi tiga kategori iaitu Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia, Pengarah Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan menerima 14 pencalonan pada FFM 28.

Keputusan berkenaan dilakukan oleh Finas dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Dalam pada itu, Kamil berkata, walaupun filem-filem bukan di dalam bahasa Malaysia tidak dicalonkan dalam kategori utama namun taraf pengiktirafan tersebut tetap sama.

Jelasnya, perbezaannya hanyalah terletak kepada bahasa digunakan dan pengasingan itu adalah sebagai satu langkah bagi memartabatkan bahasa Malaysia.

Malam kemuncak FFM 28 bakal berlangsung pada 3 September depan di Dewan Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam.

Artikel Lain