suria

Pekin Ibrahim Tak Jangka 'Mat Moto' Dapat Lapan Pencalonan FFM 28

Pekin tidak menjangka filem pertama arahannya iaitu Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit mendapat lapan pencalonan pada Festival Filem Malaysia Ke-28. Foto AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim tidak menyangka naskah arahan pertamanya berjudul Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit mendapat lapan pencalonan pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM 28).

Pekin, 36, berkata, ketika menghasilkan karya berkenaan dia tidak pernah berfikir untuk memenangi sebarang anugerah sebaliknya apa dilakukan adalah kerana minatnya untuk menghasilkan sebuah filem.

"Sejujurnya saya memang tidak pernah berfikir atau menjangkakan akan dapat lapan pencalonan pada FFM 28.

"Ia diluar jangkaan saya kerana ketika menulis skrip dan mengarah Mat Moto saya tidak pernah meletakkan karya saya ini untuk dipertandingkan atau dicalonkan dalam mana-mana anugerah apatah lagi FFM.

Pekin bakal masuk set filem kedua arahannya pada 20 Ogos ini.
"Alhamdulillah saya bersyukur dengan pencalonan tersebut dan ia pencapaian cukup bear untuk saya dan produksi filem berkenaan," katanya.

Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit memperlihatkan Pekin tercalon dalam beberapa kategori penting termasuk Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik FFM 28, Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Baharu Terbaik.

Naskah itu juga turut mendapat pencalonan menerusi Pelakon Baharu Wanita Terbaik (Falisha Crosley), Penataan Bunyi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Malam kemuncak festival berprestij itu bakal diadakan pada 3 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam.

Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Dalam pada itu, Pekin berkata, dia tidak mengharapkan sebarang kemenangan sebaliknya melihat kejayaan Mat Moto tercalon di FFM 28 adalah sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya pada masa hadapan.

"Pencalonan ini sebagai bonus dan sudah cukup memberi semangat kepada saya untuk terus buat lebih baik pada masa hadapan.

"Kejayaan ini juga adalah buat rakan baik saya Allahyarham Azwan Anuar yang bersama-sama saya sebelum ini dalam menghasilkan filem ini," ujarnya.

Sementara itu, Pekin berkata, filem kedua arahannya iaitu KL Wangan bakal menjalani penggambaran bermula 20 Ogos ini.

Kata Pekin ia bakal mengangkat kisah tentang perlumbaan kereta pada waktu tengah malam dan dia turut bertindak sebagai penulis dan pelakon dalam naskah tersebut.

Selain itu, dia juga baharu sahaja menyiapkan dokumentari berjudul Madness of Borneo yang diarahkan oleh Raja Mukhriz.

Artikel Lain