suria

Wak Doyok Terus Berlakon Jika 'Abang Long Fadil 2' Box Office

Wak Doyok

PETALING JAYA: Selebriti fesyen Wak Doyok masih mempertimbangkan tawaran berlakon filem kedua selepas selesai penggambaran Abang Long Fadil 2 baru-baru ini.

Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 35, berkata, dia hanya akan menerima tawaran tersebut jika filem Abang Long Fadil 2 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi mencapai kutipan box office.

"Skop Production ada menawarkan saya untuk berlakon filem seterusnya selepas Abang Long Fadil 2 iaitu berjudul Secret Agent.

"Skrip sudah ada cuma saya belum memberi kata putus tentang tawaran tersebut.

"Saya beritahu mereka tunggu Abang Long Fadil 2 keluar dulu, jika kutipan mencapai box office dan mendapat pulangan yang baik barulah saya terima untuk berlakon lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Salah satu aksi Wak Doyok dalam filem Abang Long Fadil 2.

Wak Doyok berkata, dia tidak mahu menganggu kerjaya seorang pelakon yang lebih layak untuk melakonkan watak-watak yang ingin diberikan.

Tambahnya, dia juga tidak mahu buang masa dan membazirkan duit syarikat produksi jika lakonannya tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat itu.

"Saya bukan bintang filem, ramai lagi pelakon yang boleh berlakon watak itu. Saya fikir itu kerjaya orang kenapa saya mahu kacau.

"Lainlah kalau kehadiran saya dalam filem itu dapat membantu. Kalau tidak hanya rugi masa dan duit mereka sahaja," ujarnya.

Selain itu, Wak Doyok berkata, berlakon dalam filem Abang Long Fadil 2 merupakan satu pengalaman baharu buat dirinya.

Dia juga cedera akibat terjatuh selepas melakonkan satu babak aksi.

"Berlakon kerjaya yang memenatkan kerana saya perlu menunggu berjam-jam. Saya datang pukul 8 pagi dan babak saya pukul 5.30 petang.

"Selain itu, saya susah nak hafal skrip yang terlalu panjang macam berceramah, sebab itu banyak babak saya yang terpaksa dilakukan 'dubbing'.

"Ada juga pengalaman punggung saya tercedera kerana terjatuh selepas babak aksi, saya dibawa ke klinik dan dapat suntikan namun saya tak boleh rehat kerana perlu habiskan penggambaran yang berlangsung itu," ujarnya.

Wak Doyok

Artikel Lain