suria

Mizz Nina Fokus Terbitkan Program Kerohanian

Mizz Nina lebih selesa menghasilkan program kerohanian. Foto BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Pengacara Mizz Nina akan lebih memfokuskan kepada penghasilan program-program berbentuk kerohanian menerusi syarikat penerbitannya iaitu DopsTV.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 36, berkata, selain memfokuskan kepada penerbitan untuk stesen televisyen dia juga banyak menghasilkan rancangan menerusi YouTube agar ia dapat capaian lebih luas di seluruh dunia.

"DopsTV mula beroperasi sejak tahun lalu dan Alhamdulillah setakat ini kami sudah pun menghasilkan beberapa program untuk stesen televisyen.

"Permintaan terhadap program berbentuk keagamaan cukup tinggi dan kami juga banyak menerbitkan rancangan untuk siaran YouTube.

"Ia platform yang baik dalam berdakwah kerana program yang disediakan dapat ditonton oleh masyarakat seluruh dunia," katanya kepada mStar Online.

Mizz Nina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Adania di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Mizz Nina berkata, pihaknya banyak memfokuskan penerbitan program dengan topik ringan yang turut boleh difahami oleh masyarakat bukan Islam.

Mizz Nina (kiri) bersama mereka yang terlibat dalam penghasilan produk Adiana.
Katanya, syarikat penerbitannya juga banyak merujuk kepada ahli agama sebelum mengetengahkan sesuatu topik agar fakta ditampilkan tepat.

"Setakat ini semua program adalah dalam bahasa Inggeris dan ia lebih mudah untuk difahami masyarakat diseluruh dunia.

"Alhamdulillah setakat ini program yang dimuat naik di YouTube mendapat sambutan menggalakkan," ujarnya.

Tambah Mizz Nina, bulan Ramadan ini nanti bakal menyaksikan tiga program terbitan syarikatnya iaitu Walk His Way, Queen of the Deen dan Finding Him bakal bersiaran di TV Al-Hijrah.

Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Adania, Mizz Nina berkata, dia sudah menggunakan produk penjagaan kecantikan itu sebelum ditawarkan oleh pihak pengurusan jenama berkenaan.

Dia juga segera bersetuju apabila menerima tawaran berkenaan kerana berasa yakin dengan produk keluaran Adania yang serasi.

"Saya sangat berpuas hati dengan kesan positif yang dihasilkan Adania yang bukan sahaja kulit wajah tetapi badan.

"Alhamdulillah rezeki saya dapat mewakili produk berkenaan yang berasaskan organik dan sesuai untuk perempuan dan lelaki," katanya. 
Mizz Nina

Artikel Lain