suria

Search Perlu Atasi Kemelut Bersama Yazit - Awie

Kumpulan Search dianggotai oleh (dari kiri); Kid, Nasir, Amy, Yazit dan Nordin.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Wings, Awie menyarankan agar kesemua ahli kumpulan Search termasuk pemain dram Yazit Ahmad, 54, duduk berbincang memperbaiki kemelut yang melanda kumpulan itu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, kontroversi yang melanda kumpulan legenda itu ketika ini akan menjadi lebih parah dan bakal memusnahkan reputasi mereka sebagai sebuah kumpulan yang dihormati.

"Perkara bergaduh itu seperti budak-budak, mereka perlu selesaikan dan bertemu bagi menjernihkan keadaan kerana jika tidak reputasi mereka sendiri yang calar.

"Mereka sepatutnya sayang dengan persahabatan yang diibaratkan seperti adik beradik sejak lebih 35 tahun Search ditubuhkan itu," ujarnya kepada mStar Online, Rabu.

Awie berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi yang melanda kumpulan Search apabila seorang ahlinya Yazit mengambil tindakan membuat laporan polis terhadap kumpulan itu.

Awie menyarankan agar Search duduk berbincang bagi menyelesaikan kemelut kumpulan itu. Foto ROHAIZAT MD DARUS

Yazit yang juga pemain dram kumpulan itu mendakwa bahawa ahli-ahli yang lain pecah amanah dan tidak berlaku adil terhadap hak yang sepatutnya diterima.

Search turut dianggotai oleh Amy, Nasir Daud, Nordin, dan Kid.

Tambah Awie, ahli-ahli kumpulan itu tidak sepatutnya mengenepikan hak Yazit yang banyak berjasa terhadap mereka ketika awal penubuhan kumpulan tersebut.

Katanya, Yazit yang menghidap penyakit buah pinggang memerlukan perhatian oleh ahli kumpulan itu yang sudah dianggap seperti darah dagingnya sendiri.

"Mereka perlu pulangkan hak dia iaitu duit yang sepatutnya dia dapat. Pada usia ini sepatutnya mereka tidak terlalu memikirkan tentang harta sebaliknya persahabatan dan amanah.

"Saya faham Yazit berada dalam keadaan tertekan dan memerlukan wang untuk rawatan penyakitnya," ujarnya.

Sementara itu, Awie berkata, dia akan bertemu dengan Yazit dalam masa terdekat bagi memperbaiki keadaan.

Tambahnya, dia bersama Wings dan beberapa selebriti dalam perancangan untuk membantu mencari dana untuk rawatan kesihatan Yazit.

"Insya-Allah saya akan bertemu dengan dia dan memujuknya agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Selain itu, Wings dan beberapa selebriti  lain ada perancangan untuk membantu Yazit dan keluarga menerusi program untuk membantu mengumpul dana rawatannya," ujar Awie.

Awie, Search

Artikel Lain