suria

Shuk (Balas) Sedar Lawak 'Lucah' Tidak Kekal Lama

Shuk tidak mahu terus dilabel pelawak lucah.

PETALING JAYA: Pelawak Shuk (Balas) yang sebelum ini dikenali sering membuat lawak-lawak dua maksud atau double meaning memberitahu tidak lagi menggunakan cara itu sebagai jalan singkat membuat orang ketawa.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 30, berkata, dia sedar lawak-lawak berunsur lucah hanya akan membuatkan dirinya tidak kekal lama dalam industri tanah air.

"Saya tahu orang tidak suka dengan lawak sebegitu, jadi saya bertekad untuk membuang konsep lawak tersebut ketika menyertai kumpulan SYJ pada Maharaja Lawak Mega 2014 lalu.

"Setiap persembahan saya akan pastikan tidak akan terlepas membuat lawak-lawak kotor seperti ketika saya bersama kumpulan Balas dahulu. Saya tidak mahu dilabel sebagai pelawak double meaning " ujarnya kepada mStar Online.

Shuk berkata, kini dia banyak menggunakan bahan lawak yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat dan mudah diterima umum.

Dia juga masih lagi belajar tentang bidang lawak ini daripada pelawak-pelawak yang berpengalaman.

"Saya buat apa sahaja lawak yang boleh mencuit hati orang terutama berkaitan isu semasa kerana ia lebih mudah untuk diterima masyarakat.

"Selain itu, saya masih lagi belajar tentang bidang lawak ini menerusi pelawak-pelawak lebih lama. Alhamdulillah, saya dikelilingi pelawak-pelawak yang sentiasa boleh memberi tunjuk ajar," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kerjayanya setelah lima tahun bergelar pelawak, Shuk berkata, dia bersyukur semakin mendapat tempat dalam industri ini.

Bagaimanapun dia perlu sentiasa membuat kajian bagi memberi lawak-lawak yang segar dan tidak membosankan penonton.

"Saya sedang bertanding dalam Maharaja Lawak Mega 2016 dan akan terlibat juga dengan persembahan Lawak Ke Der Live Di Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei ini.

"Sebagai pelawak sudah tentu saya perlu sentiasa cari bahan yang terbaik dan relevan dengan masyarakat. Secara jujurnya kemunculan pelawak-pelawak baru yang menjadi pesaing sedikit sebanyak membuatkan saya perlu bekerja dengan lebih keras," ujarnya.

Pementasan Lawak Ker Der 2016 ini turut dibarisi pelawak terkenal seperti Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Nabil Ahmad, Kumpulan Bocey, Sherry Al Hadad dan Rayza Mukmin.

Shuk Balas

Artikel Lain