suria

Fizz Fairuz Terima Hakikat Karier Lakonan Semakin Malap

Fizz Fairuz mempunyai perancangan tersendiri bagi memantapkan kariernya dalam bidang seni. Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Pelakon Fizz Fairuz menerima hakikat zaman kegemilangannya sebagai pelakon semakin malap ekoran dia mula kurang mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini.

Pemilik nama sebenar Mohd Fairuz Zainil Abidin, 37, ini berkata, ia adalah kitaran normal dalam kerjaya mana-mana pelakon dan tidak berasa kecewa apabila namanya tidak lagi menjadi pilihan produksi.

"Sebagai pelakon saya terima hakikat zaman kegemilangan saya sudah pun berkahir dan ia kitaran biasa.

"Jika dahulu adalah masa saya sekarang giliran bakat-bakat baharu pula untuk mencipta nama sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online.

Fizz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-tonton dan sidang media Karya 12 dekat sini, Khamis.

Sebanyak enam orang pelajar jurusan seni filem berkolaborasi dengan enam pengarah terkenal menghasilkan filem televisyen.

Kesemua 12 karya tersebut akan disiarkan pada setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Fizz berkata, meskipun karier lakonannya semakin perlahan namun itu tidak bererti dia akan meninggalkan bidang seni.

Sebaliknya kata Fizz, dia melihat ini adalah peluangnya untuk meningkatkan lagi karier seninya ke tahap berbeza termasuk menerbit dan mengarah drama atau pun filem pada masa akan datang.

"Saya masih dalam industri dan saya ada perancangan tersendiri untuk membawa karier saya ke tahap lebih tinggi.

"Alhamdulillah sebagai permulaan saya sudah pun membuka syarikat sendiri iaitu Rain Maker Creative Sdn Bhd untuk menghasilkan drama atau pun filem termasuk pengurusan acara," jelasnya.

Bagaimanapun kata Fizz, dia bersyukur apabila sambutan luar biasa terhadap filem lakonannya iaitu Munafik arahan Syamsul Yusof kembali membuka peluang kepadanya untuk terus berlakon.

"Sejak Munafik ditayangkan saya kembali mendapat pelbagai tawaran lakonan. Alhamdulillah rezeki saya masih tidak putus," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fizz berkata, dia kini sedang sibuk menguruskan sebuah projek bersempena dengan Tahun Melawat Pahang pada tahun hadapan.

Jelasnya, ia adalah projek pertama dibawah syarikatnya dan kini sedang giat menjelajah ke seluruh daerah di negeri itu sebagai persediaan karnival yang bakal diadakan.

Fizz Fairuz, Karya 12

Artikel Sebelum

Artikel Lain