suria

Nazim Othman Bukan Lagi Peminat Kpop

Nazim bakal muncul dalam program Gempak Selebriti.
PETALING JAYA: Pelakon Nazim Othman tidak lagi berminat dengan muzik kpop biarpun sebelum ini pernah memberitahu bakal muncul dengan sebuah single dengan genre berkenaan yang berjudul Destinasi.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 32, berkata, perkara itu disebabkan oleh faktor usianya yang semakin meningkat dan berharap ia tidak lagi dikaitkan dengan dirinya.

"Jika dahulu memang saya gemar muzik dari Korea itu dan pernah merakamkan sebuah lagu berentak kpop tetapi sehingga kini ia tidak pernah dilancarkan.

"Sekarang usia saya sudah meningkat dan muzik berkenaan sudah tidak relevan dengan diri saya," katanya.

Dalam pada itu, Nazim berkata, dia dalam perancangan untuk melancarkan single terbaharunya dan memilih genre balada menerusi lagu itu.

Jelasnya, dia sudah pun merakamkan lagu berjudul Cerita Kita itu kira-kira dua tahun lalu namun akan memasukkan vokal terkininya agar ia kedengaran lebih segar.

"Insya-Allah jika sudah tiba masanya saya akan lancarkan lagu berkenaan dan mungkin peminat dapat mendengar selepas saya selesai menyertai program Gempak Selebriti," katanya.

Bercakap mengenai program yang bakal memperlihatkan pelakon menyahut cabaran untuk menyanyi, Nazim berkata, dia mengambil masa agak lama sebelum bersetuju menyertai program tersebut.

Ini kerana katanya, dia tidak mahu kemunculannya hanya sekadar memenuhi syarat sebaliknya ingin menampilkan kelainan kepada penonton.

"Ini peluang saya untuk mepamerkan bakat saya dalam bidang nyanyian dan saya seorang yang teliti dalam aspek kerja.

"Jadi saya mahu pastikan persembahan saya nanti sempurna dan Alhamdulillah pihak produksi faham dengan kehendak saya," katanya.

Selain Nazim, Gempak Selebriti turut disertai oleh Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Manakala peserta pelakon wanita adalah Izreen Azminda, Tasha Shilla, Raja Ilya, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Gempak Superstar akan bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 10 April 2016 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). 
Nazim Othman, Gempak Selebriti

Artikel Lain