suria

Reza Hasbi Berang Remaja Rakam Videonya Dalam Tandas

KUALA LUMPUR: Pelakon Reza Hasbi memberitahu dia berang dengan sikap seorang remaja lelaki yang merakamkan gambarnya dalam sebuah tandas awam di Kota Damansara dekat sini baru-baru ini.

Reza atau nama sebenarnya, Muhamad Ridzuan Hasbullah, 27, berkata, dia menyedari perkara tersebut selepas terdapat cahaya dari dari bawah pintu tandas ketika sedang membuang air kecil.

"Kejadian berlaku minggu lalu ketika saya menghadiri majlis mesra dengan kelab peminat saya di sebuah restoran di Kota Damansara.


"Semasa saya membuang air kecil di tandas tiba-tiba anak mata saya terperasan ada cahaya di bawah pintu dan saya terkejut apabila ternampak tangan yang memegang telefon sedang merakamkan imej saya yang ketika itu hendak buang air kecil," ujarnya kepada mStar Online.

Reza berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra pelakon filem Showdown The Movie Bersama KLMUC di Auditorium Kolej Metropolitan Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Tambah Reza, selepas menyedarinya, dia terus merampas telefon bimbit kepunyaan remaja tersebut bagi mengelakkan video tidak sepatutnya tersebar.

Reza bersama barisan pelakon Showdown The Movie. - foto BRIAN MOH/The Star.


"Berlaku kekecohan juga di tandas itu kerana dia mengunci diri dalam tandas sebelah sehingga beberapa kru datang menyuruh dia keluar.

"Pada mulanya saya rasa nak pukul budak tu tapi rasa kesian. Bagaimanapun saya bagi dia amaran supaya dia takut untuk buat perkara begitu lagi. Saya paksa dia serahkan telefonnnya kerana saya takut terdapat rakaman video saya dalam telefon itu," ujarnya.

Bagaimanapun, Reza berkata, dia tidak berhasrat untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

"Dia baru berusia 17 tahun dan saya rasa kesihan pula dengan nasib dia, jadi saya hanya beri amaran agar dia tidak mengulangi lagi perkara itu.

Telefon dia masih ada pada saya, walaupun dia kata sudah padam video tersebut, tapi saya tetap tidak percaya dan terpaksa merampasnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Reza berkata, dia berdebar menunggu filem pertamanya Showdown The Movie yang bakal ditayangkan 7 April depan.

Filem ini merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian, Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan Jehan Shukri.

Reza Hasbi

Artikel Lain